Maya 'Matahari' Nafi Tanggung Suami

Maya kunci mulut masalah rumah tangga

Meraih populariti menerusi satu-satunya judul lagu yang melonjakkan namanya, artis dan penyanyi yang dikenali dengan lagu 'Matahari', Maya, 39, masih aktif di persada seni tanah air.


 photo 2-cerita-rumahtangga-Maya-Matahari_zpslxrtbugf.jpg
Muka depan Kosmo! edisi 06-06-2015

Aktif memenuhi undangan nyanyian, sebagai anak, Maya juga sibuk menunaikan kewajipan bersama-sama dengan adik-beradiknya menjaga ibu, Kasmah Daud, 63, yang diserang angin ahmar beberapa bulan lalu.

Dalam soal perniagaan, dia kini bekerjasama dengan kakak artis tersohor Malaysia Datuk Siti Nurhaliza, Siti Saida menguruskan syarikat mereka, SM Empayar Global.

Maya dirisik tentang desas-desus yang mengatakan hubungannya dengan suami, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 44, yang dibina sejak Jun 2009 sedang dilanda masalah. 

Tidak melenting saat, pemilik nama sebenar Meyanaliza Ruslee itu ternyata kuat menyimpan rahsia hati. Tersenyum tanpa sebarang riak kecewa, dia tenang menjawab segala persoalan berhubung rumah tangganya. 

Kosmo! : Menerusi sebuah ruangan pojok sebuah akhbar, rumah tangga Maya dikatakan sedang bergolak. Boleh jelaskan sedikit mengenai isu tersebut? 

Maya : Sukar untuk saya jelaskan kerana isu itu terlalu sensitif. Tambahan pula, saya perlu menjaga hati kedua-dua belah pihak agar tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari. Buat masa sekarang, lebih baik saya kunci mulut daripada terus bercerita soal rumah tangga. 

 photo cerita-rumahtangga-Maya-Matahari_zpsrcdx2oi4.jpg

Saya mahu beri tumpuan kepada kerjaya. Biarlah hal itu hanya diketahui oleh kami berdua sahaja, tidak perlu dihebohkan kepada orang luar. Pada masa yang sama, saya juga tidak mahu memberi tekanan kepada ibu yang sedang sakit. 

Kosmo! : Bagaimanakah cerita masalah rumah tangga anda boleh timbul? 

Maya : Ini semua asam garam bergelar artis & anak seni. Apabila saya berkecimpung dalam industri ini, cerita sensasi dan gosip memang tidak dapat dielakkan. Saya juga tidak mampu untuk menutup mulut orang daripada terus bercerita. Namun percayalah, apabila sampai masanya nanti, saya pasti akan berkongsi cerita kepada pihak media. 

Kosmo! : Setelah cerita itu tersebar, bagaimana hubungan anda dengan suami? 

Maya : Keadaan kami masih seperti biasa dan bertegur antara satu sama lain. Hubungan kami tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. Namun, saya mohon peminat dapat memberikan kami sedikit ruang dan tidak terlalu mendesak. 

Kosmo! : Selain daripada masalah rumah tangga, ada juga dakwaan mengatakan anda kini menanggung segala perbelanjaan suami? 

Maya : Tidak. Saya sekeras-kerasnya menafikan perkara itu. Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya membuat penilaian berdasarkan pandangan mata kasar. Saya memang sibuk menguruskan kerjaya dan perniagaan, tetapi perkara itu tidak boleh menjadi kayu pengukur mengatakan segala tanggungjawab rumah tangga terletak di bahu saya. 

Kosmo! : Beralih kepada soal kerjaya, bagaimana dengan perkembangan aktiviti seni anda sekarang? 

Maya : Saya baru sahaja selesai menjayakan pementasan teater muzikal Wira Samudera di Johor pada April lalu. Selepas hampir setahun tidak muncul di kaca televisyen, baru-baru ini saya turut menjalani penggambaran beberapa drama bersiri khas Syawal bertajuk Menantu Saad Adik Sufian untuk siaran TV1. 

Selain itu, saya juga akan muncul dengan single baharu berjudul Setia hasil ciptaan sepenuhnya oleh Manusia Putih. Mengetengahkan genre balada, lagu yang akan dilancarkan selepas hari raya nanti itu merupakan duet saya bersama Siti Saida. 

Kosmo! : Selain daripada sibuk menguruskan kerjaya, apakah aktiviti sampingan yang anda lakukan? 

Maya : Saya kini sibuk menguruskan syarikat, SM Empayar Global yang dibina sejak beberapa bulan lalu bersama Siti Saida. Meskipun syarikat ini diuruskan bersama namun, kami bebas untuk memasarkan produk masing-masing bawah jenama kami sendiri. Saida lebih fokus kepada perniagaan tudung, manakala saya pula memberi tumpuan kepada koleksi pakaian. Kami berhasrat melancarkan koleksi tudung dan busana menjelang Ramadan nanti.

Sumber : Kosmo! Edisi 06-06-2015 bersamaan 19 Syaaban 1436H

No comments: