Dynaz Hamil Lagi


Apabila disahkan mengandung untuk kali kedua, Wan Intan Edrinaz Wan Mokthtar atau lebih dikenali sebagai Dynaz kini bangkit dari peristiwa pahit setelah mengalami keguguran awal tahun ini.


Walaupun perasaan gembira dan teruja untuk menimang cahaya mata, Dynaz mengakui perasaan takut masih menyelubunginya.


Dynaz kini lebih berhati-hati dalam setiap aktiviti yang dilakukan, apatah lagi kandungannya sudah berusia empat bulan.


Begitu juga dengan orang di sekeliling yang mengambil berat tentang keadaan model tinggi lampai yang sedang mengandung ini.


Isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini, berkata dia tidak terlalu ghairah membuat perancangan sebaliknya ingin menikmati saat-saat kehamilan ini dengan ceria. "Kali ini, saya tidak merancang apa-apa. Apa yang berlaku dahulu sudah tertulis dan ia menguatkan lagi diri saya. Saya mahu menikmati pengalaman ini," katanya yang kini sibuk dengan pengambaran drama "Di Bawah Ketiak Isteri".

Photobucket
Dynaz kini sedang hamil empat bulan selepas pengalami keguguran pada kandungan pertama.



Menurut Dynaz, apa yang lebih mengembirakan ialah orang di sekeliling tidak kira siapa, mengambil berat dengan keadaannya walau di mana juga beliau berada.


Peminat-peminatnya juga mengirimkan email dan menitipkan kata-kata nasihat di blog dan Facebook.


"Orang di sekeliling sentiasa ingatkan saya jangan kerja terlalu kuat dan jangan berlari. Saya selesa dengan perhatian yang diberikan. "Tapi saya memang seorang yang aktif. Saya tidak boleh duduk saja di rumah. Doktor juga menasihatkan, kalau saya tiba-tiba ubah cara kehidupan saya, bimbang juga jika badan saya tak biasa," jelas Dynaz. Sejak kandungan pertama dahulu, Dynaz amat menjaga pantang larang semasa mengandung. Menariknya, pantang yang diikuti bukan saja pantang orang Melayu malah pantang orang Cina juga, selagi tidak menjejaskan kesihatannya.


"Tengok saya moden tapi bab pantang ini, saya sangat tradisional. Ada juga kawan India yang memberi tips pantang larang dalam masyarakat mereka tapi tengoklah, kalau tak penting atau tak relevan, saya tak ikut," kata Dynaz yang tidak mengalami sebarang alahan ketika mengandung.


Dynaz juga merancang percutian dua minggu di Melbourne untuk menyambut tahun baru dan berehat selepas tamat pengambaran drama “Di Bawah Ketiak Isteri 2”.


Secara jujur dia tidak berasa selesa dengan peningkatan berat badannya. Sejak mengandung, berat badan Dynaz sudah mencecah 64 kilogram. Ketika kandungan pertama dahulu Dynaz sudah terbiasa memakai kasut bertumit tinggi semasa membuat 'catwalk' dalam acara modeling.


"Dahulu, selepas saja saya habis pantang, hari-hari saya ke gim. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk kembali ke bentuk asal badan saya," ujar Dynaz yang masih aktif dalam bidang peragaan.


Ketika ditanya tentang persiapan menyambut bakal cahaya matanya, Dynaz memberitahu tiada persiapan yang akan dilakukan sehingga selepas kandungannya memasuki lapan bulan.


"Tidak ada persiapan yang dibuat kerana kami masih lagi menyimpan barangan bayi yang telah dihadiahkan kepada kami sebelum ini. Jadi, tak perlu membazir membeli yang lain," katanya.





No comments: