Zizan Bukan Raja Lawak 24 Jam

Mungkin ada yang tidak sedar menjadi seorang pelawak merupakan satu tanggungjawab yang berat. Perlu menggeletek hati penonton supaya mereka tersenyum dan bergelak ketawa, kadangkala ada juga lawak yang dibikin tidak menjadi dan sebagai seorang profesional, pelawak itu harus bersedia dengan kritikan yang membingitkan telinganya.


Namun, itulah jalan yang dipilih oleh Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abd. Razak.


Akuinya, sebaik kaki melangkah ke luar dari pintu rumah, tugasnya bermula. Ada kalanya, sebagai manusia biasa, Zizan juga melalui hari-hari yang perit dan menyebabkan emosinya kurang stabil.



Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk gagal menggembirakan penonton tatkala berdiri di pentas persembahan.


“Ketika waktu sedih saya terpaksa juga bekerja, di atas pentas saya buat lawak gembirakan orang lain walaupun dalam hati saya sedih, orang tidak tahu.

Zizan Raja Lawak

“Saya yang memilih kerjaya ini, sebaik kaki saya melangkah keluar dari rumah, saya sudah tetapkan dalam minda untuk kerja tidak kiralah apa jua emosi yang sedang melanda saya ketika itu,” ujar pemuda berusia 26 tahun tentang tanggungjawabnya itu.

Pernah dikutuk dan diherdik gara-gara lawak yang dibikin tidak menjadi, Zizan menganggapnya sebagai nasihat yang membantunya untuk menjadi insan seni yang lebih baik.

“Kadangkala orang akan kata lawak saya lawak bodoh, tetapi hakikatnya bukan senang untuk cari idea buat lawak walaupun hanya lawak bodoh. Saya tidak kisah kena kutuk kerana saya berfikiran positif, kritikan itu bukan satu masalah,” tegas anak kelahiran Terengganu itu lagi.

Dia penghibur dan pelawak di atas pentas yang tugasnya menggembirakan orang tetapi siapa pula yang akan menggembirakan dan membuatnya ketawa?

Termenung seketika, jawab Zizan: “Pujian ibu bapa terhadap hasil kerja saya mampu buatkan saya gembira. Peminat juga kadangkala boleh buatkan saya gembira dan tertawa kegirangan, contohnya bila saya baca komen-komen mereka di Facebook.

“Kerja yang menjadi dan kejayaan juga buatkan saya gembira, namun saya tetap ingin ditegur supaya boleh sentiasa perbaiki diri. Teguran yang membuatkan saya terus berjalan maju.”

Ramai yang menyangka karakter Zizan di atas pentas dan di luar waktu kerja adalah sama, sedangkan dia umpama orang yang berbeza bila tidak bertugas.

Jarang ketawa apatah lagi membikin lawak secara spontan seperti yang penonton sering saksikan di kaca televisyen, Zizan sebenarnya seorang yang serius dalam dunia realiti.

“Kalau nak tahu walaupun saya suka buat lawak di atas pentas, saya sebenarnya seorang yang serius di luar pentas.

“Setiap lawak yang saya bikin di atas pentas, saya rancang terlebih dahulu. Sebabnya saya tidak suka lawak yang terlebih-lebih ataupun yang akan mengganggu sensitiviti orang lain.

“Jadi bila di luar pentas saya menjadi Zizan yang serius dan bila naik saja pentas secara automatik Zizan yang suka buat lawak akan muncul,” ungkap pelakon filem Kapoww itu lagi.

Tambahnya, kebanyakan pelawak merupakan orang yang sebegitu, gila-gila waktu kerja dan serius selepas waktu kerja.

“Majoriti pelawak perangainya seperti itu kerana ketika tidak bertugas kami harus berfikir dengan serius macam mana mahu buat lawak yang kelakar dan dalam masa yang sama lawak itu harus logik serta mengikut peredaran masa.

“Jadi, jangan ingat kami suka buat lawak bila-bila masa dan ia bukan kerja yang mudah. Pelawak juga macam orang lain, kadangkala kami juga kekeringan idea bikin lawak yang baru, jadi maafkanlah andai tiba-tiba saya terkeluar lawak bodoh tanpa sengaja,” ulasnya dalam tawa.

Walaupun Aidiladha disambut semalam, namun mood raya masih lagi berada dalam diri terutama bagi mereka yang berasal dari Pantai Timur.

Sambutan Aidiladha lebih meriah bagi mereka berbanding Aidilfitri. Begitu juga yang dirasai oleh Zizan, bagaimanapun tahun ini dia hanya beraya di Kuala Lumpur memandangkan cuti hanya sehari dan dia juga sedang sibuk dengan penggambaran filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham.

“Raya haji tidak ada persediaan, tahun lepas saya balik kampung tetapi tahun ini tidak balik sebab sibuk dengan penggambaran filem.

“Cuti diberi hanya sehari, rasanya tidak berbaloi untuk balik kampung, jadi saya bawa keluarga ke Kuala Lumpur, raya tetap raya cuma lokasinya berbeza,” katanya.



Pengacara Festival Filem ke-23 itu juga bercerita tentang pengalaman meraikan Aidiladha di Terengganu, tuturnya sejak kecil hingga dewasa dia tidak pernah meninggalkan peluang untuk sama-sama terlibat dalam acara korban lembu.


“Saya memang tidak pernah lepaskan saat-saat untuk tumbangkan lembu terlalu banyak pengalaman yang kelakar dan menyeronokkan saya. Lembu terlepas dan saya berkejar satu kampung untuk mendapatkan semula lembu itu merupakan perkara biasa.



“Ketika itulah paling seronok. Satu tip kalau nak sembelih lembu atau apa-apa haiwan pun, jangan bagi ia melihat kawannya disembelih.


“Kalau tidak, mulalah dia buat tunjuk perasaan dan agak sukar untuk menyembelihnya,” ujar Zizan yang tidak kekok dengan haiwan kerana berpengalaman mendekati kambing-kambing peliharaan datuknya.







No comments: