Kemalangan Ngeri - Awal Ashaari Selamat

BMW remuk teruk, Awal selamat

ALOR GAJAH - Hasrat Awal Ashaari mengacarakan rancangan hiburan Melodi secara langsung di Karnival Jom Heboh di Stadium Hang Jebat, Krubong tidak kesampaian apabila selebriti itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 209.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Restoran Jejantas Air Keroh di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, pengacara yang juga pelakon berkenaan hanya cedera ringan walaupun kereta mewah yang dianggarkan berharga RM800,000 miliknya remuk keseluruhannya.

 photo Awal Ashaari Kemalangan Accident2_zpsdwkwkrlg.jpg

Awal atau nama penuhnya, Ahmad Awaluddin Ashaari yang juga suami kepada pelakon Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya hanya mengalami kecederaan di bibir sahaja. Semasa kejadian, kereta tersebut dipandu rakan Awal, Izuan Mokhtar, 30. Izuan juga hanya cedera ringan.

Satu sumber memberitahu, kemalangan berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh arah selatan itu berlaku apabila BMW 6 Series yang mulanya bergerak di lorong kanan hilang kawalan sebelum meluncur ke kiri lebuh raya.

"BMW itu terbabas melepasi longkang kecil di tepi lebuh raya sebelum terlanggar tiang besi menyebabkan ia berpusing beberapa kali sehingga enjin serta dua tayar hadapannya tercabut," kata sumber itu.

 photo BMW 6Series Awal Ashaari Kemalangan Accident_zpsshy4btbe.jpg

Sumber itu memberitahu, Awal, 34, dan rakannya kemudian dibantu orang awam keluar dari kenderaan yang terbalik sebelum dihantar ke Hospital Melaka menaiki ambulans.

Dalam pada itu, Awal ketika ditemui di Hospital Melaka berkata, dia masih terkejut dengan peristiwa yang menimpanya itu.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan parah kecuali mengalami luka di bibir."

"Ketika kejadian, saya tidak sedar macam mana kereta tersebut terbabas dan hanya sedar sudah sudah berada di tepi jalan dengan orang ramai datang membantu," cerita Awal dalam keadaan lemah. 

Menurut artis itu, sebaik berada di tepi jalan, dia terus mencapai telefon bimbitnya lalu menghubungi isterinya, Scha, memberitahu dia terlibat dalam kemalangan. 

Mengimbas sebelum kemalangan, Awal berkata, sebelum bertolak ke Melaka dari Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi, dia berasa tidak sedap badan lalu meminta rakannya, Izuan untuk memandu kereta BMW berkenaan.

 photo Awal Ashaari Kemalangan Accident1_zpswner0ajx.jpg

Sementara itu, Scha ketika ditemui di Hospital Melaka berkata, dia menerima panggilan daripada Awal ketika sedang menjalani proses penggambaran telemovie di Ampang, Selangor. 

"Saya terkejut apabila Awal memberitahu yang dia terlibat kemalangan," katanya. 

Jelas Scha, sebelum meninggalkan rumah, suaminya ada mengadu dia tidak sedap badan termasuk mengalami sakit perut. 

Awal yang terkenal sebagai pengacara rancangan realiti, One in a Million turut muncul sebagai pelakon utama siri TV Impak Maksima selain beberapa buah drama seperti Misi XX Ray dan Cinta Medik.

 photo Awal Ashaari-Scha alYahya_zpshysogfgz.jpg

Awal melangsungkan pernikahannya dengan Scha pada 4 Mei 2012 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Lara Alana pada 22 Julai 2014.

Baca juga; Ferrari Kuning Zizan Kemalangan  

Sumber : Kosmo! Edisi 30-03-2014 bersamaan 9 Jamadilakhir 1436H

No comments: