Datuk Siti Nurhaliza Idam Anak 2010

Selain dimurahkan rezeki dalam kerjaya seni, penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin juga mengharapkan kebahagiaan rumah tangganya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K yang dibina lebih tiga tahun lalu akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata pada 2010.


Kata Siti, dia tidak pernah putus berdoa kepada Tuhan saban tahun untuk mendapat anak sekaligus mengeratkan lagi kasih sayangnya dan suami.


"Ketika mula-mula kahwin dulu, saya fikir, selepas kahwin kita mesti hendak ada anak. Tapi rupanya, perkara itu tidak mudah seperti dibayangkan. Kini, saya terfikir juga soal anak tapi tidak mahu memikirkan perkara itu secara serius kerana ia soal rezeki dari Tuhan.


"Ada juga orang yang berehat dua tiga bulan dari aktiviti seni dalam usaha untuk mendapat anak tapi saya pula lebih suka buat kerja seperti biasa. Apabila bekerja, saya berasa gembira kerana dapat menghiburkan orang. Apapun, saya dan suami tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha mendapatkan anak seperti diidamkan," katanya.


Penyanyi yang popular dengan lagu Biarlah Rahsia dari Kuala Lipis, Pahang ini tidak pernah melihat soal anak itu sebagai kekurangan dalam rumah tangganya.


"Saya tidak berasa sunyi di rumah kerana suami juga sudah mempunyai anaknya sendiri (perkahwinan pertama). Selain itu, ibu mentua juga sering menemani saya di rumah," katanya.


Pada masa sama, Siti yang mencecah usia 31 tahun pada 11 Januari ini berkata, dia juga seronok meniti usianya yang bertambah setahun lagi. Harapan Siti, peningkatan usia semakin mematangkannya dalam kehidupan dan kerjaya seni yang diceburi lebih sedekad lalu.


Kata Siti, dia gembira kerana kerjaya seninya berjalan lancar seperti direncanakan. Malah sepanjang 2009, Siti mengadakan dua konsert iaitu Konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya (IB), Jun lalu diikuti Konsert Seribu Warna di Stadium Malawati, Shah Alam serta persembahan duet bersama M Nasir di Singapura pada 1 Januari.


"Cuma dari segi kehidupan, semangat saya kurang sikit kerana pemergian bapa, Allahyarham Tarudin Ismail dan bapa mentua (meninggal dunia sebelum arwah bapa Siti). Kini barulah saya dapat menerima segala ketentuanNya dengan reda," katanya.


Siti yang mula dikenali dengan lagu Jerat Percintaan pada 1995, meraikan ulang tahunnya ke-15 di persada seni pada 2010.


Katanya, dia juga mempunyai perancangan khusus demi masa depan kerjaya seni yang dicintainya.


"Album duet saya dengan penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti berjudul CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka sudah berada di pasaran mulai 28 Disember lalu.


"Setiap kali buat album duet, pasti akan menyusul konsert atau`road tour' di Malaysia dan Indonesia. Selain itu, saya berharap Konsert Satu Suara, Faizal Tahir dan Aizat Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada 12 hingga 14 Februari ini berjalan lancar. Konsert ini terbitan produksi Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP), " katanya.


Siti juga sudah bersedia menghiburkan warga Singapura apabila menjayakan Konsert Bagaikan Sakti yang menggabungkannya dengan M Nasir di Esplanade Theater, Singapura, jam 8 malam ini.

Photobucket

Ia juga julung kalinya Siti berkongsi pentas dengan M Nasir yang disifatkan Siti antara penyanyi lelaki yang dihormatinya di persada seni tanah air. Justeru apa bila ditawarkan Beyond DDB untuk buat konsert duet dengannya, Siti terus setuju.


"Saya sering buat persembahan dengan Nasir dalam program televisyen sebelum ini tapi ini kali pertama berkongsi pentas dalam konsert. Apabila berkongsi pentas dengan Nasir, muzik yang kami tampilkan juga lebih variasi dan hebat kerana muzik kami juga diterima ramai.


"Saya dan Nasir akan menyampaikan 14 lagu solo popular masing-masing dan lima atau enam lagu duet seperti Ghazal Untuk Rabiah. Selain itu, lagu klasik yang pernah didendangkan P. Ramlee, Saloma dan Sudirman sepanjang persembahan dua jam tanpa henti itu," katanya..


Bagi Nasir yang ingin memberi fokus pada penerbitan filem pada 2010 pula berkata, pada peringkat awal, ada pihak menawarkannya untuk buat konsert secara solo di Singapura sebelum ini.


"Tapi saya tolak untuk buat konsert solo itu kerana teruja untuk buat konsert secara duet ini. Bagi saya, idea buat konsert duet dengan Siti ini menarik dan saya yakin kami serasi untuk digandingkan bersama. Saya juga tidak akan menyanyi jika saya tidak melihat kejayaan sesebuah konsert itu.


"Selain menyampaikan rangkaian lagu solo popular, saya juga buat lagu baru yang juga duet saya dengan Siti. Lirik lagu yang belum berjudul ini juga ditulis Siti. Idea buat lagu duet ini bagus dan ia hadiah buat peminat kami," katanya.


Ditanya sama ada Konsert Bagaikan Sakti bakal mengubat kekecewaannya pada Konsert Satu Wajah yang senyap begitu saja, Nasir berkata, dia tidak kecewa dengan apa yang berlaku.


"Saya juga`work smart' dan terima jika ada tawaran buat persembahan lain. Sebenarnya, saya tidak tahu status konsert itu tapi ada pihak lain yang berminat buat konsert itu. Bagi saya pula, kalau dari dulu tidak boleh buat, tidak payahlah nak buat konsert. Saya juga tidak tahu apa rancangan penganjur konsert itu selepas ini," katanya.


Konsert istimewa ini juga bakal menampilkan dua pengarah muzik terkemuka yang bekerjasama mengendalikan konsert ini di pentas iaitu M. Nasir di bawah pimpinan Aznan Alias dan Siti di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta diiringi seramai 30 pemuzik di bawah pimpinan mereka.


Bagi mereka yang tidak berpeluang menyaksikan persembahan Siti dan Nasir di Esplanade, Astro tidak menghampakan peminat dua penyanyi besar ini apabila menyiarkannya secara eksklusif menerusi Astro Box Office Events (saluran 955) jam 8 malam ini (1 Januari).


Ini kerana tiket konsert habis dijual dalam masa seminggu. Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events untuk menyaksikan konsert ini dengan harga RM10. Siaran ulangan konsert bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.




No comments: