Enot Hidap Barah Usus

Kuala Lumpur: “Saya malas nak kecoh-kecoh pasal penyakit ini. Biarlah susah senang saya tanggung sendiri,” kata pelawak Enot mengenai keputusannya merahsiakan penyakit barah usus yang dihidapi sejak setahun lalu.

Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 36, yang merahsiakan penyakit itu sebelum ini akhirnya membuka mulut dan mengakui barah itu kini berada pada tahap kedua. 

Katanya, keputusan untuk tidak bercerita mengenai perkara itu diambil kerana tidak mahu meraih simpati daripada masyarakat.

“Untuk apa pun kalau saya nak kecoh-kecoh? Pada saya selagi terdaya buat sendiri, biarlah usaha dulu sebab setakat ini semua terkawal. 


 photo enotsakitbarah_zps01c68469.jpg


“Saya tak nak ujian yang menimpa ini jadi perhatian atau bualan orang seolah-olah macam saya nak cari publisiti pula,” katanya. 

Pengacara Kalau Berani 1 Vs 0 itu mulai kurang aktif daripada industri hiburan sejak setahun lalu susulan kes penceraiannya pada Julai tahun lalu. 

Bagaimanapun Enot tidak pernah bercerita mengenai penyakit itu kepada sesiapa termasuk rakan-rakan rapatnya sebelum ini sehinggalah semalam. 

Enot membuat pendedahan itu berikutan pertanyaan media mengenai kehidupan peribadinya sebagai ibu tunggal dan kurang muncul di televisyen kebelakangan ini. 

Katanya, pada peringkat ini, dia memilih untuk menjalani rawatan secara tradisional berbanding kemoterapi. 

"Saya tak nak buat rawatan (kemoterapi) moden sebab terlalu sakit dan akan mematikan semua sel tak berkaitan. 

Selepas mendapat nasihat doktor, saya memilih untuk berubat cara kampung seperti daun belalai gajah dan beberapa produk kesihatan. 

Alhamdulillah setakat ini keadaan terkawal dan paling penting saya kena kuat sebenarnya," katanya. 

Telah Setahun Tidak Berlakon

Tambahnya dia jarang muncul di televisyen kerana sudah setahun tidak menerima tawaran lakonan. 

"Saya pun tak tahu kenapa. Tapi untuk meneruskan hidup saya teruskan jualan cookies secara online. Terus terang hidup saya dan anak-anak tidak mewah. Kami berjimat-cermat. 

Alhamdulillah kami dapat meneruskan hidup. Anak-anaklah kekuatan saya bagi menghadapi semua dugaan ini. 

Saya cukup tersentuh apabila anak-anak sanggup bergilir-gilir menjaga saya. Mereka nak pastikan saya sentiasa ditemani sebab kerap pengsan kalau terlalu penat dan letih," katanya.




No comments: