Saiful Apek Insaf !

Semua manusia yang bernafas di dunia ini pasti melakukan kekhilafan. Namun, yang membezakan situasi itu adalah sama ada kesalahan itu disedari serta diinsafi atau sebaliknya.

Sebagai individu yang pernah melakukan kesilapan, Saiful Apek menyedari dia telah tersilap langkah. Justeru, kini cuba merenung jauh ke dalam impak daripada kesilapan yang telah dilakukannya itu yang kini menerjah perjalanan hidupnya.

Jelas, insiden dirinya ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah pada bulan Jun lalu telah memberi hikmah tersendiri buat dirinya.

Ibarat bayi yang baru dilahirkan, pemilik nama sebenar Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff yang kini mencecah usia 41 tahun itu bangkit semula dengan bertongkatkan sokongan dan penghormatan yang diberikan oleh rakan-rakan dan para peminatnya yang sentiasa bertindak penyuntik semangat buatnya untuk terus berkarya.

Bagi Saiful Apek, bakat melawak yang telah dijadikan karier seninya sejak 16 tahun lalu itu merupakan punca rezeki dan kehidupannya kini.

Sehubungan itu, dia akan terus membawa anugerah Tuhan itu selagi ada hayat dikandung badan.

Dari lubuk hatinya juga, dia masih bersyukur kerana masih diterima walau pernah dihimpit dengan peristiwa hitam yang boleh membuatkan namanya jatuh, malah mungkin terus dilupakan.

Katanya dalam nada penuh kesyukuran, rezeki yang diterima sekarang juga amat menggalakkan dan memberikan dirinya semangat untuk bangkit semula dan menyemarakkan dunia seni lawak tanah air.

“Terima kasih peminat. Saya bersyukur kerana peminat-peminat masih menyokong saya untuk terus berada dalam industri ini.

“Apa yang membuatkan saya terharu sangat kerana masih ada golongan ibu dan bapa yang menyuruh anak mereka bersalaman dengan saya biarpun selepas ‘tragedi’ yang menimpa saya itu.

“Penghormatan yang diberikan itu merupakan trofi buat diri dan semangat untuk saya terus bangun,” luahnya ketika ditemui di pengambaran filem Bujang Terlajak di Restoran Anta Batura, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


Filem Bujang Terlajak
A. Razak Mohaideen sedang berbincang dengan tiga teraju utama filem, Bujang Terlajak.



Tambahnya, setiap penyanyi atau pelakon pasti mengimpikan anugerah sebagai satu penghargaan yang diiktiraf terhadap bakat mereka. Namun ia sebaliknya melihat aspek penghargaan itu daripada sudut yang berbeza.

“Bagi saya penghormatan yang berterusan daripada peminat terhadap bakat yang keluar menerusi hasil lakonan saya adalah satu anugerah dan trofi yang paling penting.

“Tanpa mereka (peminat) siapalah saya. Saya cukup terharu dengan sokongan mereka,” jelasnya.

Yakin untuk melangkah setapak lagi dalam portfolio seninya, pada tahun 2008, Saiful Apek telah muncul sebagai sutradara dan mengarah filem Shh...Dia Datang.

Buah tangan pertama figura yang masih boleh dikategorikan sebagai salah seorang raja lawak di Malaysia itu sudah selesai menjalani proses pembikinan.

Filem itu dibintangi ramai pelakon terkenal seperti Aaron Aziz, Imuda, Ahmad Busu, Amy Mastura, Avaa Vanja dan Kuna.


Saiful Apek
Saiful tidak berhenti berharap filem sulung arahannya, Shh...Dia Datang menjengah pawagam.



Namun atas sebab beberapa masalah teknikal, filem terbitan Noradz Production dan Gitu-Gitu Production milik Saiful Apek sehingga kini masih belum ditayangkan.


Menurut Saiful Apek, dia amat berharap jika filem itu dapat ditayangkan pada tahun hadapan memandangkan dua orang pelakon yang turut berlakon dalam filem itu telah pulang ke rahmatullah iaitu Din Beramboi dan Shukrey Hashim.

Malah luahnya, selaku pengarah, dia juga tidak sabar untuk mendapat maklum balas daripada penonton yang bakal menyaksikan hasil arahan perdananya itu kelak.

“Saya memang agak ghairah mahu menunggu filem tersebut ditayangkan kerana itu merupakan filem pertama arahan saya. Nak juga dengar apa komen peminat tentang filem arahan saya,” ujarnya.






No comments: