Bukan Anak Angkat Siti Nurhaliza

Dari jauh, perkarangan rumah teres milik Normah Toso, nenek kepada Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 4, dan Nur Firuza Amira, 7, yang terletak di Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor kelihatan sesak dipenuhi orang ramai. 

Tidak ketinggalan para jurukamera dan wartawan juga telah bersedia menunggu kedatangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang dijadualkan memenuhi permintaan dua beradik itu untuk bertemu dengan beliau Selasa lalu (05-05-2015). 

Tepat pukul 3 petang, kelibat pelantun lagu Jaga Dia Untukku itu muncul dari celah-celah khalayak sambil mengendong erat Amira disisinya. Terpancar riak ceria dan gembira pada wajah kanak-kanak comel itu. 

 photo Anak Angkat Siti Nurhaliza_zps04htd915.jpg

"Barangkali dengan kehadiran saya ini, adik Amira boleh melupakan seketika rasa sedihnya selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa dan adik dalam kemalangan tempoh hari."

"Sejujurnya, saya sangat terkesan dengan apa yang berlaku terhadap Amira dan Aqila. Jadi, jika pertemuan ini mampu mengukirkan senyuman pada wajah mereka, saya juga tumpang gembira," ujar Siti membuka bicara.

Minggu lalu, rakyat Malaysia menangisi episod duka yang dilalui oleh Aqila dan kakaknya, Amira selepas ibu bapa dan adik bongsu mereka terkorban dalam nahas jalan raya di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur. 

Turut berkongsi rasa simpati, Siti hadir menziarahi kanak-kanak cilik itu selepas video yang menampilkan Amira meluahkan hasrat ingin bertemu dengannya menjadi viral kelmarin.


"Sebenarnya, hati saya sudah terdetik mahu berjumpa dengan Amira dan Aqila sejak saya membaca tentang tragedi yang menimpa ibu dan bapa mereka Sabtu lalu." 

"Namun, hati saya bertambah sayu apabila menonton video Amira yang mahu bertemu dengan saya," getus Siti Nurhaliza hiba sambil menyeka air matanya. 

Keprihatinan penyanyi tersohor negara itu bagaimanapun membibitkan telahan awal daripada khalayak apabila sebuah blog mendakwa beliau berhasrat untuk menjadikan Aqila dan Amira sebagai anak angkatnya. 

Ujar beliau, perkara itu terlalu sensitif untuk dibicarakan sementelah anak-anak kecil itu masih mempunyai waris yang mampu menjaganya. 

"Saya rasa isu ini terlalu sensitif untuk dibincangkan dengan lebih lanjut. Saya agak terkejut apabila mendapat tahu dakwaan tersebut dan tidak sangka pula ada yang sanggup menulis perkara yang tidak benar." 

"Namun, saya dan suami tetap akan membantu mana yang perlu." jelasnya yang bercadang mahu memberikan bantuan dalam bentuk pendidikan kepada mereka menerusi Yayasan Nurjiwa. 

Bagi menceriakan pasangan dua beradik itu, Siti turut menghadiahkan kepada mereka permainan tanah liat, anak patung dan beberapa helai pakaian. 


Dalam pertemuan yang ditemani suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa itu, Siti sempat meluangkan masa hampir 40 minit. 

Menurut Khalid, beliau tidak menolak jika ditakdirkan untuk menjaga dua beradik itu sebagai anak angkatnya bersama Siti. 

"Saya anggap pertemuan ini seperti jodoh. Jika ditakdirkan untuk menjaga mereka, saya menerima dengan hati yang terbuka." 


Sumber : Kosmo! Edisi 07-05-2015 bersamaan 18 Rejab 1436H  

  

No comments: