Datuk Siti Nurhaliza Derma RM310,000

'Hadiah ulang tahun paling bermakna' 

Siti Nurhaliza derma wang tunai RM310,000 kepada mangsa banjir di Pantai Timur

 photo Datuk Siti Nurhaliza Derma RM310000_zpsoyyvi9kf.jpg

KUALA LUMPUR - Banjir yang melanda negara baru-baru ini mendorong penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menghadiahkan wang tunai sebanyak RM310,000 kepada mangsa banjir di Pantai Timur bagi meringankan beban mereka. 

Siti Nurhaliza yang menyambut ulang tahun ke-36 berkata, keputusan itu dilakukan selepas beliau begitu tersentuh dan dapat merasai kesengsaraan penduduk yang terlibat dalam bencana terburuk dalam sejarah negara ini.

Wang bernilai RM310,000 merupakan hasil sumbangan beberapa pihak termasuk daripada pihak Yayasan Nurjiwa miliknya dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. 

"Siti anggap sambutan ulang tahun pada tahun ini cukup bermakna apabila wang tunai bernilai RM310,000 yang disalurkan menerusi Yayasan Nurjiwa dapat disumbangkan kepada mereka yang tidak bernasib baik."

"Saya berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan derita yang ditanggung," ujarnya pada majlis sambutan ulang tahun beliau ke-36 di The Banquet Hall, Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur malam tadi. 

Siti Nurhaliza menambah, beliau juga memasang niat untuk menghadiahkan sejadah baharu dan kelengkapan asas lain. 

Pada tahun 2009, artis tersohor itu pernah menerima hadiah seutas jam tangan Richard Mille yang dipercayai berharga ratusan ribu ringgit sempena hari lahirnya yang ke-30. 

Bagaimanapun hadiah mewah itu menjadi bualan ramai, Siti Nurhaliza mengambil sikap untuk tidak mendedahkan hadiah yang diterimanya pada tahun-tahun seterusnya.


Sumber : Kosmo! Edisi 12-01-2015 bersamaan 21 Rabiulawal 1436H

 

No comments: