Natasha Hudson Ibu, Isteri Yang Semakin Sibuk

Cantik dan memikat. Begitulah ayat pertama yang terlontar sebaik menatap wajah Natasha Liana Hudson sekarang. Pelakon filem Chermin yang melakukan penghijrahan dalam diri sejak 2012 ini semakin tenang menjalani kehidupan sebagai isteri kepada Carleed Khaza (Khalid Kamal) dan ibu kepada Neesa Helena dan Naeema Kalila.

Sudah rezekinya, tanpa sebarang desas desus Natasha tiba-tiba diperkenalkan sebagai duta terbaru produk AuraWhite dalam satu yang berlangsung awal Mei lalu. Justeru ini membuka satu lagi lembaran baru buatnya selain terbabit mengusahakan bisnes sendiri. Paling penting matlamatnya untuk mencari keberkatan Allah SWT tidak pernah dipinggirkan. 

“Alhamdulillah sememangnya ini rezeki saya. Saya terima e-mel mengenai tawaran ini dan ingatkan hanya diminta jadi model biasa. Rupa-rupanya saya diambil sebagai duta untuk produk ini. Saya juga kini terbabit sebagai duta Mary Chia Slimming Centre dan Kubiq Kitchen. 

“Tak dinafikan saya sangat sibuk dengan tanggungjawab ini. Selain itu, saya juga aktif mengusahakan bisnes busana sendiri iaitu Dreamcloud by Natasha Hudson yang dijual secara atas talian di Fashionvalet.com. Saya juga memiliki ‘concept store’ Muslimah dinamakan ‘Modvier’ bertempat di Jalan Riong, Bangsar.

“Tidak terhenti setakat ini, saya juga sibuk dengan penulisan blog sendiri iaitu www.natashahudson.tumblr dan menghadirkan diri ke pelancaran atas produk ‘review’ yang dilantik oleh beberapa PR agensi tertentu bagi menjalankan tugas saya,” katanya. 


 photo Natasha-Hudson-ibu-isteri-yg-sibuk_zps44b1333f.png

Kagum mendengar ceritanya kerana Natasha memang tidak duduk diam. Dia gembira dapat kembali berkarya menerusi tulisan dan kini turut bergelar penulis portal muslimah terbaru WWW.ATIYA.MY. Artikel tulisannya akan dikeluarkan seminggu sekali untuk tatapan pembaca. 

"Tak nafikan saya sangat sibuk sehinggakan berasa tak cukup masa untuk semuanya. Bagaimanapun dalam kesibukan ini saya cabar diri sendiri apabila sambung belajar ambil Diploma Jurusan Islamik di Arees University, Texas yang berkolaborasi dengan Pusat Islam Yayasan Taalim, Taman Tun Dr Ismail. 

"Saya mula sambung belajar sejak September lalu dan insya-Allah bercadang nak sambung sehingga peringkat ijazah. Niat mendalami ilmu agama timbul sejak remaja dan perasaan itu  membuak-buak ketika mengandungkan anak kedua sehingga saya bercadang nak sambung belajar di Universiti Malaya tapi sukar mendapat peluang. 

Alhamdulillah kebetulan tempat ini menawarkan peluang itu, jadi sudah mesti saya tak lepaskannya," katanya 
yang seronok mengikuti kelas agama bersama suami dan anaknya. 

"Untuk lebih mudah, saya bawa sekali anak-anak ke mana-mana termasuk ke kelas agama. Saya mengutamakan keluarga dan ibadah saya. Saya mengakui terkejar-kejar dan mencuri masa membaca serta menghadirkan diri ke majlis ilmu yang kini banyak di Malaysia." 

Apabila melakukan penghijrahan timbul persoalan apakah Natasha sudah meminggirkan rakan lama yang akrab dengannya dulu. 

Bercerita hal ini, Natasha memberitahu tidak pernah prejudis terhadap sesiapa pun. 

"Saya berkawan baik dengan semua orang tak kira siapapun mereka. Siapalah saya untuk menilai orang baik atau buruk sedangkan saya sendiri tidak sempurna. 

Bagi saya penghijrahan mesti ada perubahan dan Allah SWT akan memberikan yang terbaik, kawan baru yang membimbing saya serta menghindarkan saya daripada benda yang tak patut ada dalam hidup. Alhamdulillah teman-teman saya banyak yang suka kalau saya dapat berkongsi pengalaman saya dengan mereka. 

Itulah juga sebabnya saya sambung belajar kerana ini adalah bekalan akhirat. Setiap insan ada kelemahan dan mungkin perlu belajar beberapa perkara lagi dengan mendalam terutama tafsir al-Quran, cara bacaan, sirah, fiqh, usool fiqh, hadis, kesempurnaan solat dan sebagainya," katanya. 

Perlahankan Karier Lakonan   

Natasha Hudson yang memenangi gelaran Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-20 mengakui memperlahankan karier demi tanggungjawab terhadap keluarga. 

"Saya perlu lebihkan tumpuan kepada suami dan anak-anak. Lagipun anak kedua saya masih menyusu badan. Tawaran itu ada tapi buat masa ini saya terpaksa menolak. 

Saya pernah tefikir nak hasilkan skrip dan berlakon drama berkonsep Islamik. Insya-Allah mana tahu suatu hari nanti ada rezeki dan peluang saya dapat merealisasikan impian ini," katany yang terbabit dalam filem Mamak Cup Cake yang akan menemui penonton selepas Aidilfitri nanti. 




No comments: