Di Alam Fantasi Liyana Jasmay

Meraih populariti dan kejayaan pada usia muda dianggap bonus pada pelakon cantik Liyana Jasmay dalam mengembangkan bakat seninya.

Berbeza dengan penampilan sulung ketika membintangi filem Castello bersama aktor popular, Rosyam Nor, lima tahun lalu, Liyana kini tampak lebih matang dari segi penampilan diri mahupun mutu lakonan.

Menerusi filem Papadom bergandingan bersama Afdlin Shauki juga bertindak sebagai pengarah, Liyana meraih pencapaian terbesar dalam kariernya apabila menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22, tahun lalu.

Menariknya, filem itu turut mengiktiraf Afdlin sebagai Pengarah Terbaik sebelum diumumkan Filem Terbaik. Begitu juga keserasian gadis genit ini bersama pengarah terkenal itu terbukti menerusi anugerah Best On Screen Chemistry yang dimenangi pada majlis Shout! Awards anjuran 8TV, baru-baru ini.

Menimba pengalaman baru dalam bidang lakonan, Liyana kini sibuk memberi sepenuh fokus pada latihan teater muzikal, Siti Di Alam Fantasi 2 yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 22 hingga 31 Disember ini.

Liyana berkata, pertama kali berlakon teater memberikan pengalaman baru yang begitu menyeronokkan. Selepas seminggu mengikuti latihan teater ini, dia dapat memahami karakter Siti yang dibawanya secara mendalam.

"Dalam teater ini, hanya saya bersama Ebby Yus membawa watak manusia. Saya juga bekerjasama dengan Johan Raja Lawak melakonkan watak pokok.

"Berbeza dengan filem atau drama, teater memerlukan pengucapan dialog tanpa henti dan pergerakan bahasa tubuh yang lebih besar.

"Siti adalah watak utama digambarkan berusia 12 tahun, anak orang kaya dan bersikap mengada-ngada. Sebenarnya, ramai yang tidak tahu dia ada batu geliga yang membawa kekayaan dalam hidupnya.

"Kerana itu, dia menjadi sombong dan berlagak. Hingga suatu hari, dia menerokai alam fantasi dan menemui perkara pelik seperti lipas bercakap dan lalang menjadi tinggi.

"Menariknya, berlaku sumpahan ke atas dirinya apabila bersikap jahat iaitu berubah kepada keldai. "Ketika ini, saya kena menggunakan kostum keldai dan membuat bunyi seperti haiwan itu.


Fantasi Liyana Jasmay

"Banyak pengajaran yang cuba disampaikan seperti sikap tolong menolong yang harus dipraktikkan. Dalam mengubah sikapnya itu, dia jatuh cinta dengan Putera Raja lakonan Fizo Omar," katanya.

Menyelami karakter dan perangai kanak-kanak, Liyana juga seronok apabila berpeluang menyanyi dalam pementasan arahan Aminah Rhapor itu.

Katanya, Aminah banyak memberi tunjuk ajar seperti memberi contoh dengan melakonkan sendiri sesuatu watak.

Liyana berkata, dia tidak pernah bertemu pengarah yang komited dan memberi emosi mendalam pada watak yang ingin ditonjolkan seperti Aminah.

"Seramai 40 kanak-kanak berusia antara enam dan 12 tahun tampil menjayakan pementasan ini. "Ada yang melakonkan watak seperti lipas, kelip-kelip termasuk Vanidah Imran yang menjadi labah-labah.

"Berlakon dan menyanyi dalam pementasan ini memberikan pengalaman menyeronokkan walaupun cabaran tetap ada. Saya sendiri suka pada pementasan berkonsep muzikal dan sudah lama mahu berlakon teater. "Mungkin pada tahun depan, saya berhasrat sekurang-kurangnya terbabit dengan satu teater," katanya dengan mata yang bersinar.

Bersandarkan pada pengalaman lakon dan anugerah yang pernah diterima, Liyana menyatakan dia bukan bersikap 'demanding' terhadap tawaran yang diterima.

Katanya, pelakon tidak seperti penyanyi di bawah label syarikat rakaman yang boleh menentukan jumlah bayaran tertentu. Sebaliknya, dia percaya bidang lakonan adalah lebih berkaitan dengan minat.

"Ketika berlakon filem Kami The Movie, bajet produksinya kecil, tetapi saya tetap ambil tawaran itu kerana percaya pada kredibiliti pengarah. Pada saya, ada ketika kita harus bekerja untuk membantu orang lain.

"Tahun depan, saya kembali dengan tiga filem baru iaitu Khurafat, Tolong Awek Aku Pontianak dan Senjakala. "Menerusi Khurafat, saya berlakon dengan Syamsul Yusof sebagai isteri dan dalam Senjakala menjadi kekasih Zahiril Adzim.

"Ketika ini, saya gembira dengan pencapaian sendiri. Saya tidak merancang berlakon 10 filem, setahun tetapi saya juga berharap dapat memberi fokus lain seperti menulis skrip dan nyanyian.

"Kalau boleh, saya berhasrat berlakon dalam genre epik, perjuangan atau 'thriller'. Mungkin, saya juga ingin menjadi pengarah dan produser satu hari nanti.



"Soal album, saya mahu hasilkan album kedua selepas kehadiran mini album yang menampilkan single, Percaya Cinta. Nyanyian menjadi suatu yang peribadi pada diri saya yang disampaikan menerusi lagu. "Apa yang saya harapkan, bidang nyanyian saya dapat berkembang seiring lakonan. Begitu juga, saya berharap lakonan terus diterima dan filem yang dijayakan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.


Profil


NAMA: Liyana Jasmay


TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988


USIA: 22 tahun


ASAL: Kuantan, Pahang


PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor


FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari, Niang Rapik The Movie, Khurafat, Tolong Awek Aku Pontianak dan Senjakala.


DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa, Sari Maya dan Kapoww The Series.


ALBUM (EP): Liyana Jasmay


PENCAPAIAN: Aktres Terbaik, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009); Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2009) dan Best On Screen Chemistry (Shout! Awards, 2010)









No comments: