Vanida Imran Bukan Diva

USAH ditanya di mana kedudukannya dalam industri kerana persoalan itu tidak pernah ada dalam benaknya. Meskipun pernah merangkul anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) menerusi Red Kebaya, pengiktirafan itu sama sekali tidak membuatkan dia megah sebaliknya dia hanya menyusuri jalan yang dibuka Sang Pencipta malah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberi.

Sebagai anak seni, Vanida Imran berusaha melakukan terbaik dalam apa saja tugas yang digalas dan soal turun naik dalam industri, semua itu urusan Allah SWT.

Diva? Primadona filem Melayu? Lupakan saja kerana bukan gelaran itu yang didamba.

“Selagi berlakon, orang kenal dan ada tawaran itu sudah cukup buat saya gembira. Gelaran primadona atau diva bukan sesuatu yang bagus buat saya.

“Sepanjang menceburi bidang ini, saya tidak pernah merasakan diri ini popular kerana saya tidak ada beza dengan wanita lain. Saya masih ke pasar dan melakukan kerja rumah. Apa yang mungkin berbeza adalah bila saya di lokasi penggambaran atau pentas teater,” katanya.

Bagaimanapun, isteri kepada aktor Rashidi Ishak ini tidak menafikan bahagia dilahirkan sebagai Vanida Imran. Punya suami yang penyayang, cahaya mata yang hebat, karier menarik dan dikelilingi sahabat yang tidak pernah jemu menyokong kerjayanya.

“Saya tidak pernah merungut biarpun ada ketikanya lelah dengan kerja. Cuma sebagai ibu kadangkala ralat juga bila terlepas saat indah bersama anak-anak. Hati saya cukup tersentuh bila mereka bertanya ke mana saya mahu pergi.

Photobucket

“Justeru itu, saya perlu bijak membahagikan masa dan sesibuk mana sekalipun tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka,” katanya.

Kemunculan aktres ini baik di layar perak mahupun teater tidak pernah menghampakan. Terbaru tampil sebagai CJ menerusi teater Cuci The Musical yang berakhir hari ini, auranya cukup menyerlah sehingga mendapat pujian ramai.

Mengakui seronok menjayakan watak berbeza daripada pementasan yang pernah dijayakan sebelum ini, Vanida terharu dengan pujian media dan penonton.

“Alhamdulillah, kali ini beri saya lebih yakin menjayakan pementasan muzikal. Banyak yang saya belajar daripada pementasan ini terutama cara kawal dan lontaran suara serta teknik menyanyi dengan baik.

“Biarpun ramai memuji nyanyian saya dan bertanya tidakkah berminat menghasilkan album, itu tidak mungkin berlaku. Cukuplah dengan hanya menyanyi dalam teater kerana cabaran di atas pentas sangat berbeza,” katanya yang turut terbabit dengan penggambaran drama terbaru Saw Teong Hin, Tangkal Besi di samping Aaron Aziz.





No comments: