Zamani Slam Bebas Dadah

KUALA LUMPUR - Selepas 3 bulan menjalani proses rawatan pemulihan di Rumah Pengasih Malaysia (Pengasih), bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani mengaku sudah bebas daripada ketagihan dadah.

 photo Zamani Slam Bebas Dadah_zpsd5dh7e5t.jpg
Muka depan Kosmo! Edisi 17-05-2015

Perkara itu disahkan sendiri oleh Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 43, pada sidang akhbar khas yang diadakan di pusat pemulihan tersebut semalam.

"Syukur alhamdulillah, selepas tiga bulan menjalani pemulihan di sini saya berasa kembali bersemangat dan sihat kerana sudah bebas daripada najis dadah."

"Dengan segala bentuk program kerohanian dan sesi kaunseling di sini, semangat saya beransur-ansur pulih walaupun mulanya sangat sukar untuk menyesuaikan diri," ujar Zamani yang hadir segak mengenakan kemeja putih dan berkot hitam sambil ditemani oleh abangnya, Zulfazil Ibrahim dan peguam, Ahmad Zaharil Muhaiyar. 

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd. Yunus Pathi, Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah dan Radhi OAG.

Bagaimanapun, sehingga kini pelantun lagu Syair Si Pari-pari itu masih perlu menjalani proses pemulihan di Pengasih sehingga benar-benar disahkan pulih sepenuhnya.

Zamani memberitahu, dia amat merindui dunia nyanyian dan berharap diberi peluang melakukan persembahan selepas ini.

Pada 21 Januari lalu, Zamani ditahan polis di rumahnya di Taman Keramat, Ampang bersama pembantu peribadi, Nur Juliana Abdul Rani, 33, kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 1.20 gram.

Zamani dan Nur Juliana kemudian didenda RM5,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu atas pertuduhan mengambil dan memiliki dadah.


Sumber : Kosmo! Edisi 17-05-2015 bersamaan 28 Rejab 1436H


No comments: