Intan Ladyana Fobia Kahwin


Kedua-dua ibu bapanya bercerai ketika dia masih kecil lagi. Sejak itu, pelakon meningkat naik, Intan Ladyana, 27, belajar erti hidup berdikari dan matang dalam meniti usia remajanya.


Malah, Intan, yang juga anak kedua dari tiga beradik, lebih berhati-hati dalam soal memilih pasangan hidup apabila usianya meningkat dewasa.


Akui Intan, dia sebenarnya fobia untuk berkahwin kerana ibu bapanya bercerai ketika dia masih kecil.


Pada masa sama, Intan melihat ramai rakan seperjuangan dalam industri seni bercerai pada usia muda.


"Apapun saya bersyukur kerana ibu cukup memahami dan tidak pernah mendesak saya dalam soal kahwin. Kakak saya juga berkahwin pada usia 27 tahun dan saya masih mempunyai masa sebelum mengikut jejak langkahnya itu. Bagi saya, berkahwin itu biarlah sekali seumur hidup dan semoga ia berkekalan hingga ke akhir hayat," katanya.

Photobucket



Seperti pasangan kekasih lain, Intan yang hangat bercinta dengan model dan pelakon Bio-nik, Kamal Adli, 23, juga impikan hubungan mereka berakhir di jenjang pelamin.


"Hubungan saya dan Kamal sudah mencecah hampir setahun. Perbezaan usia empat tahun juga bukan penghalang buat kami mengecapi kebahagiaan yang diimpikan. Sekalipun usia Kamal lebih muda, ia tidak ketara kerana dia lebih matang dari usianya itu.


"Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar dan ia juga direstui keluarga kedua-dua belah pihak. Tapi, saya memang belum bersedia ke arah fasa perkahwinan dalam tempoh terdekat ini," katanya.


Intan, yang pernah putus cinta dengan pakar pemakanan dan kesihatan, Kevin Zahri berkata, Kamal memenuhi hampir semua kriteria lelaki idamannya selama ini.


"Kami serasi bersama kerana menceburi bidang yang sama. Kamal juga cukup memahami diri saya. Maklumlah, saya ini suka merajuk dan dialah yang tidak jemu untuk memujuk.


"Apapun, saya serahkan soal jodoh pada Tuhan dan Insya-Allah, saya akan berkahwin apabila sudah sampai seru nanti," katanya.


Sepanjang tempoh tiga tahun berlakon, Intan cukup bernasib baik kerana tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon.


Ketika menjayakan sesi fotografi untuk Harian Metro, baru-baru ini, Intan yang dikenali menerusi filem Jangan Pandang belakang (JPB) masih terbabit dengan penggambaran drama bersiri 26 episod JPB musim kedua yang akan disiarkan di RTM2.


Intan memegang watak utama Norsyira, yang juga adik Nazmi lakonan Shaheizy Sam, yang berusaha menolong abangnya dari dimasuki saka dalam tubuhnya.


Kata Intan, dia terima berlakon drama itu kerana ia ada kesinambungan dengan filem JPB yang yang melakar sejarah dari segi kutipannya sebelum ini.


Dia juga bangga kerana menjadi sebahagian daripada filem berkenaan.


"Kerjaya seni saya juga lebih teratur sejak menjadi artis residen MIG Production Sdn Bhd. Saya keluar dari MIG selepas filem I'm Not Single dan menjadi artis residen MIG semula pertengahan tahun lalu. Sekalipun mengikat kontrak dengan MIG selama lima tahun, saya tidak terikat dengan kontrak dan boleh perbaharuinya setiap tahun.


"Kalau tidak ada projek dengan MIG, saya juga boleh berlakon projek produksi orang lain. Sebagai artis, saya perlu pihak pengurusan untuk menguruskan kerjaya seni dan penjenamaan nama saya," katanya.


Kata Intan, perjalanan seninya masih jauh lagi. Sebagai pelakon, dia ingin membawa pelbagai watak dan tidak ingin dikenali sebagai pelakon cerita seram atau watak sama saja.


"Saya juga baru berlakon lima filem dan belum pernah menang sebarang anugerah lagi. Pada masa sama, masih banyak watak yang belum dicuba lagi seperti watak antagonis orang cacat, ganas dan sebagainya lagi.


"Saya juga tidak sabar menanti reaksi peminat menerusi lakonan saya dalam V3 Samseng Jalanan dan Adnan Sempit pula bakal menjengah pawagam tidak lama lagi," katanya.


Tidak ketinggalan, drama terbaru lakonannya iaitu Kasihku Is Setan, Suria Kassandra dan Mama Murai yang disiarkan melalui Astro Warna.


Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Intan juga tidak pernah melupakan nasib golongan kurang bernasib baik, sekali gus melaksanakan tanggungjawab sosialnya pada masyarakat.


Setiap kali ada kelapangan dan tidak terbabit dalam mana-mana aktiviti seni, Intan cuba meluangkan masa menjayakan program amal.


Terbaru, Intan bersama ibu dan adiknya mengikuti rombongan Perkim, Kedah ke Banda Acheh, Indonesia sempena sambutan hari raya Aidiladha pada 26 hingga 28 November lalu.


"Sepatutnya, kami menyambut Aidiladha di kampung halaman di Pattani dan Bangkok, Thailand. Tapi kerana saya tidak dapat bercuti lama, ibu putuskan kami beraya bersama anak yatim, fakir miskin dan pelajar Malaysia yang menuntut di Banda Acheh pada AidiIadha lalu.


"Selain buat ibadah korban dan menyerahkan sumbangan ikhlas pada mereka, kami juga sempat meninjau kesan tsunami seperti kapal besar di tengah padang di sana. Pada majlis itu, kami makan beramai-ramai bersama anak yatim dan menyaksikan persembahan kebudayaan di sana," katanya.


Kata Intan, dia berasa simpati dengan nasib anak yatim yang kehilangan ibu bapa kerana tsunami yang melanda negara mereka.


"Hati saya cukup tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak tidak berdosa itu ketika tragedi berkenaan. Ada juga penduduk mangsa tsunami yang bercerita pengalaman mereka ketika dilanda tragedi itu dan membuat kita berasa insaf nasib kita lebih baik dari mereka," katanya. Mengenai perancangannya pada 2010, Intan berharap kerjaya seninya lebih menyerlah pada 2010. Intan berazam untuk bekerja keras demi masa depan kerjaya seni dan selepas itu bercuti sekejap.


"Selain itu, saya ingin berjimat cermat dan menyimpan duit untuk masa depan. Saya juga boros ketika membeli-belah dan Kamal yang banyak mengawal," katanya.


Profil


NAMA PENUH: Intan Nurladyana Mohamad Yahaya


TARIKH LAHIR: 2 Jun 1982


UMUR: 27 tahun


ASAL: Kuala Lumpur


STATUS: Bujang


KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik


KERJAYA: Model iklan, pengacara dan pelakon


PROGRAM TV: Hello Minda dan Advanture Race 2006


IKLAN TV: Oil of Olay, Dentyne, Kinder Bueno, Hotlink, Celcom, Acuvue, Mcdonald's, Toyota, Sunsilk, Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents,


Toyota Hilux, Dentyne dan Deify Skincare


FILEM: Tipah Tertipu The Movie, I'm Not Single, Remp-It V3 dan Jangan Pandang Belakang.


DRAMA: Puteri, Jelatang, Dari KL Ke Queenstown, Sutera Maya, Suria Kasandra, Bionik, Kasihku Is Setan, Trio, Bujal, Bapak Bola Anak Futsal.