Lisa Surihani Sedia Dicemuh


Aktres berjiwa besar, Lisa Surihani, 24, awal-awal lagi tahu dia bakal dilempar pandangan negatif daripada peminat. Cuma seperti biasa, dia menangani hal tersebut dengan senyum manis dan cukup rasional.

Jika sebelum ini penonton terbiasa menyaksikan Lisa sinonim dengan karakter kanvas putih, kali ini menerusi karya V3: Samseng Jalanan, ia mampu menjentik reaksi berbeza mata-mata memandang.

Tersasar jauh daripada variasi watak pernah diterajui, transisi Lisa kepada Kamsah yang menjadi pengikut Garing lakonan Aqasha mengepalai lumba haram di tengah ibu kota, dianggap cukup drastik.

Bukan itu sahaja, polemik antara Lisa dan Kamsah lekas tercetus apabila dua babak terang-terangan menunjukkan Lisa menghisap rokok demi mengukuhkan watak gelap Kamsah.

Tidak perlu mengambil masa lama, Lisa yang terkenal sifat berterus-terang dan bijak berdiplomasi menghurai isi hati terbuku. Hampir setengah jam dia menumpahkan rasanya kepada pihak media.

Photobucket

“Orang yang tonton dengan minda terbuka pasti faham ia sekadar menjayakan satu watak. Ia tidak bermakna audiens tengok saya dalam filem maka ia menjelaskan perangai sedia ada saya secara realitinya.

“Saya sedar babak ini pasti mengejutkan khalayak. Kalau ada kemungkinan ia dijadikan isu maka saya bersedia menjawab. Saya kekal dengan jawapan konsisten bahawa hanya penuhi tuntutan karakter Kamsah,” katanya ketika ditemui pada pratonton filem berkenaan di Cathay Cineplexes, Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.

Sambung Lisa yang dilahirkan pada 23 Mac 1986, babak Kamsah merokok hakikatnya tidak terkandung dalam skrip tulisan bersama Farid Kamil dan Mohd. Shoffi Jikan.

“Semua berlaku spontan apabila Farid minta saya hisap rokok bagi menyesuaikan imej Kamsah yang merupakan individu tidak banyak cakap, tetapi terarah kepada tindakan dalam buat keputusan.

“Saya yang rasa sedikit ragu dengan cadangan Farid pada mulanya dan bertanya kepada keluarga serta pihak produksi, MIG Production Sdn. Bhd. Begitupun, saya tidak ambil masa panjang menyatakan persetujuan asalkan watak Kamsah dapat ditonjolkan dengan berkesan.

“Lagipun kalau peminat perasan, saya bukanlah merokok bersungguh-sungguh. Saya sekadar tunjuk gaya tanpa menyedut asap rokok. Terus-terang, saya tidak rasa janggal dengan adegan ini ditambah terbiasa dengan orang sekeliling yang merokok.



“Sekali lagi, saya harap ia tidak jadi perkara diperkatakan umum. Ia perlu dipandang biasa. Paling penting, saya hendak tunjukkan merokok jadi perkara biasa kepada Kamsah yang bergelumang dengan dunia jahat,” jelasnya tidak lekas menjatuhkan hukuman kepada golongan lelaki mahupun wanita merokok rata-ratanya bersikap jahat.

Lebih daripada itu, Lisa bersyukur apabila si ibu yang digelar Mummy, Siti Amira Ahmad, 59, bersikap memahami sementelah mengetahui puteri kesayangan harus menjayakan watak Kamsah.

“Mummy sendiri tidak kisah keputusan saya tampil berani serta jauh berbeza berbanding sebelumnya. Dia cukup faham kerjaya saya sebagai pelakon,” luah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom.

Keterujaan Lisa tidak mati setakat di situ meskipun selepas dijolok isu adegan merokok dalam filem. Wanita sarat sikap peramah itu bagaimanapun dilihat begitu ‘intim’ dengan Kamsah. Ada rahsia sebenarnya nama itu dipilih dalam filem dengan bajet RM1.8 juta.

Rahsia Kamsah

Apabila nama dan sosok Kamsah dijelmakan, banyak yang berasa nama tersebut terlalu jumud untuk dikomersialkan. Apatah lagi, Kamsah dijelmakan dalam watak antagonis lengkap solekan garang dan sikap panas baran. Jadi Kamsah dan antagonis kedengaran sedikit janggal.

Bercakap tentang uniknya nama Kamsah, Lisa memberitahu dia dihubungi Farid untuk membawakan watak tersebut.

“Ada sejarah sebenarnya nama ini. Pada mulanya Farid ingin menggunakan nama Melor kepada watak saya. Dengan sekali gurauan dalam corong telefon, terkeluar nama Kamsah daripada mulut saya tanpa disangka.

“Entah macam mana, Farid segera bersetuju dengan gelaran watak itu. Dia menganggap nama Kamsah sungguh sempurna,” ujar pemilik trofi Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) menerusi I'm Not Single.



Biarpun mula turun ke lokasi sejak beberapa tahun lalu dan mengutip sedikit demi sedikit ilmu lakonan, Lisa tanpa berselindung mengaku masih berdepan kesulitan sebagai pemain watak Kamsah.

“Kalau diikutkan, ini watak kedua saya jadi jahat. Kali pertama melalui filem Jangan Pandang Belakang Congkak membawakan watak Mustika pada tahun lalu.

“Bezanya, Mustika ialah seorang wanita misteri terlibat dengan ilmu hitam. Kamsah pula sentiasa patuh arahan Garing dalam grup rempit dan perlumbaan haram sehingga sanggup buat apa saja demi majikannya.

“Susah sebenarnya hendak tampilkan Kamsah yang tidak banyak cakap, tetapi aura negatif sentiasa ada pada dirinya. Ia beri cabaran kepada saya demi menghasilkan kesan tersendiri pada mata penonton.

“Saya kena nampak garang setiap masa dan lakukan aksi pertarungan dengan Rudy lakonan Farid) dan Brett (Bront Palare). Tiga hari sebelum mula penggambaran, saya dan pelakon lain jalani latihan terlebih dulu sebab ingin dapatkan stamina.

“Inilah filem pertama saya jalani aktiviti kecergasan sebelum masuk set penggambaran,” sahut Lisa yang menjadikan Angelina Jolie dalam filem Tomb Raider sebagai rujukan diri menghayati watak Kamsah.

Selain Lisa, Farid dan Bront, filem yang akan ditayangkan pada 11 Mac ini turut dibintangi oleh Intan Ladyana, Radhi OAG, Cat Farish, Corrie Lee, Norlia Ghani, Wan Nor Azlin, Shaharuddin Thamby, Mr. Os dan ramai lagi.

Tujuh Filem Lisa
Rezeki Lisa nampaknya terus murah selepas menumpahkan sepenuh keringat terhadap lapangan seni.

Selain V3: Samseng Jalanan, Lisa akan muncul dengan filem-filem berjudul Semerah Cinta Stilleto, Kapoww!, Lagenda Budak Setan, Zoo, Cyber X: Ancaman Penggodam dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2.

“Setiap watak daripada tujuh filem saya berlainan antara satu sama lain. Saya cukup gembira apabila pengarah percaya bakat dan kemampuan diri ini memegang pelbagai karakter sekali gus memperbaiki mutu lakonan sebagai pelakon.

“Walaupun masih baru, saya bersyukur apabila diberi peluang menjadi teraju utama dan berlakon dalam filem-filem hebat terbitan MIG. Kesempatan yang ada membuatkan saya mahu terus belajar dari semasa ke semasa.

“Selebihnya saya beri kepercayaan kepada penonton menilai sendiri hasil kerja diri ini dalam filem yang dijayakan. Saya bersyukur kerana ada peminat sentiasa menyokong dari belakang,” jawab Lisa penuh santun sambil menadah tangannya mengucap kesyukuran kepada Allah Taala.

Ditanya apakah ada watak impian ligat bermain dalam fikiran selepas ini, Lisa yang terkenal sifat merendah diri memberitahu: “Saya terlalu baru hendak pilih watak. Buat masa ini, biarlah saya belajar dari bawah dulu sebelum idam pelbagai karakter.

“Cuma baru-baru ini saya berpeluang tengok filem popular Bollywood, My Name Is Khan. Saya sukakan watak-watak dalam filem ini yang berbentuk artistik.”





No comments: