Tam Spider Kahwin Lagi


KEHADIRAN isteri di sisi suami memberi makna mendalam bukan hanya menjaga makan minum, tetapi menjadi teman hidup buat selamanya. Begitu juga dengan vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam, 36, tidak menyangka selepas menduda kebih 10 tahun, hatinya masih terbuka untuk menerima kehadiran seorang isteri buat kali kedua.


Kelmarin, bersamaan 8 November, penyanyi yang popular dengan lagu Bila Nak Saksi dan Rela Ku Pujuk, menamatkan zaman bujangnya bersama Aida Mustafa, 28, selepas dinikahkan imam Masjid Jamek Pekan Nenas, Pontian, Johor, Kalimin Sarmon.


Walaupun ini pengalaman kedua, Tam melafazkan akad nikah dua kali. Pada hari sama, pasangan sejoli itu melangsungkan majlis persandingan di Dewan Tun Ibrahim Ismail.


Kata Tam, dia mengenali Aida hampir lima tahun lalu dalam satu acara bersama Erra Fazira. Namun, sejak perkenalan itu, bibit cinta belum berputik hingga setahun lalu apabila mereka berhubung secara serius dan mula meluahkan perasaan cinta.


Mengimbas kembali saat manis percintaan mereka, Tam yang bertunang dengan Aida 15 Ogos lalu menyatakan perhubungan yang terjalin bukanlah seperti pasangan bercinta lain yang kerap bersua. Biarpun sudah setahun menyulam kasih, Tam akui mereka hanya beberapa kali meluangkan masa untuk keluar bersama.


"Sepanjang setahun kami bercinta, boleh dikatakan kami hanya berjumpa beberapa kali. Hubungan kami tidak terlalu serius dan diibaratkan umpama proses mengenali satu sama lain.


Photobucket

"Bagaimanapun, selepas setahun bercinta kami ambil keputusan mendirikan rumah tangga. Apapun, saya memilih Aida sebagai isteri kerana dia menerima saya dan anak (Mohd Aliff) seadanya.


"Malah, apa yang penting dia faham dengan kehidupan saya sebagai selebriti. Sukar bagi isteri jika tidak memahami kerjaya suami apatah lagi mengharungi kehidupan bersama.


"Seperti Aida, saya juga memahami kerjaya dia. Kami saling memahami dan menyokong kerjaya masing-masing serta berharap kehidupan selepas ini bertambah baik dan stabil," katanya.


Mengenai Aliff, 15, Tam memaklumkan anak sulungnya itu sering bertanya bila dia mahu berkahwin semula selepas perkahwinan pertama gagal. Biarpun usia Aliff kini meningkat remaja, Tam percaya kasih sayang seorang ibu masih penting buatnya.


Sehubungan itu, bagi mengukuhkan hubungan sedia ada, Tam turut memberi galakan kepada isterinya untuk menguruskan syarikat sendiri, Gem PR & Events yang ditubuhkan bersama sejak setahun lalu.


Dalam merancang kehidupan baru bersama isteri tersayang, Tam turut menyatakan perkahwinan kedua ini adalah antara impian terbesarnya yang tercapai tahun ini.


"Pada April lalu, impian saya untuk membuka syarikat rakaman sendiri iaitu Mandala Records menjadi kenyataan. Selepas itu, saya bersama Aida pula naik pelamin.


"Ini bermakna dua impian terbesar saya pada tahun ini terlaksana. Namun, saya bersyukur dengan apa yang saya lalui dan berharap kehidupan kami selepas ini bertambah baik," katanya.


Tam kini menguruskan Mandala Records yang beroperasi di Damansara Damai, Selangor berhasrat mencari bakat baru sama ada penyanyi solo dan berkumpulan untuk diketengahkan sebagai artis naungan syarikatnya. Manakala pengurusan Gem PR & Events, diserahkan kepada isterinya yang juga bertindak sebagai pengarah urusan.


Dalam pada itu, Tam berkata Spider kini masih dalam proses menyiapkan album baru. Katanya, dia masih berusaha meluangkan masa untuk menyiapkan album kelima itu biarpun selepas ini perlu membahagi masa antara tanggungjawab sebagai suami dan penyanyi.


Aida, 27, yang mengenakan baju kurung kontemporari putih dan bertudung pada majlis akad nikah begitu juga dengan majlis persandingannya, menyatakan perasaan syukur dan gembira sebaik kedua-dua majlis berkenaan selesai dilangsungkan.


Katanya, mereka pada mulanya merancang mahu mengadakan majlis secara sederhana, tetapi tidak menyangka jemputan sebanyak 3,000 meningkat pada 5,000 orang.


Biarpun hujan sejak jam 3 petang sebaik pasangan pengantin sampai ke destinasi dewan persandingan, masih ramai tetamu yang hadir untuk berkongsi hari bahagia mereka.


Aida yang menerima wang hantaran RM20,000 daripada Tam lebih berahsia untuk bercerita mengenai kenangan manis cinta antara mereka mula terjalin. Namun, katanya dia tertarik dengan Tam kerana sikap yang menyenangkan dan sudi untuk berkongsi hidup dengannya.


"Mungkin sifat keanak-anakan dalam dirinya membuatkan saya jatuh hati apatah lagi melihat dia seperti memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang isteri. Sekarang, sebagai isteri saya bersedia menerima kehadirannya dan menerima keadaan dia yang mempunyai peminat.


"Saya menghormati kerjayanya sebagai penyanyi yang mempunyai ramai peminat dan saya tidak mahu menghalang atau cemburu tidak bertempat," katanya.


Mengenai pemilihan tarikh perkahwinan, Aida menjelaskan mereka merancang berkahwin pada 14 September lalu sempena ulang tahun Tam. Tetapi, memikirkan ketika itu umat Islam berpuasa dan akan menyambut Aidilfitri, mereka menangguhkannya.


"Perancangan selepas ini ialah meneruskan kerja seperti biasa. Banyak kerja yang perlu diselesaikan sebelum kami bersedia untuk berbulan madu.


"Soal lokasi berbulan madu, kami tangguhkan buat sementara waktu kerana faktor komitmen kerja dan cuaca yang tidak menentu," katanya.


Profil


Nama sebenar: Rustam Mustafah


Tarikh lahir: 14 September 1971


Asal: Kuala Sungai Baru, Melaka


Isteri: Aida Mustafa


Anak: Mohd Aliff, 15 (perkahwinan pertama)


Kerjaya: Penyanyi, komposer


Album: Bintang 12 (2007), Nazraku (2004), Aladin (2002), Ngam Ho (1999)


Lagu popular: Bila Nak Saksi, Mabuk, Telinga Ke Tulang, Dunia Batinku, Relaku Pujuk, Laukku Cukup Masin, Gosok, Kasih Latifah


Pencapaian: Rela Ku Pujuk menang Anugerah Juara Lagu 2004









No comments: