Budak Aids Dakwa Anak Gitaris May

TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu berusia sembilan tahun dan menghidap Aids mencetuskan misteri apabila mendakwa dia anak pemain gitar kumpulan rock May, sedangkan pemuzik itu masih hidup dan langsung tidak mengenalinya.

Kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai S mendakwa, ayah, ibu serta adiknya yang berusia empat tahun semuanya meninggal dunia akibat Aids dan dia dijangkiti penyakit berbahaya itu daripada ibu dan bapanya.

“Ayah saya seorang pemain gitar, dia meninggal dunia lima tahun lalu kerana Aids. Ibu juga meninggal dunia kerana penyakit sama pada Jun lalu manakala adik meninggal dunia tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut siapa ayahnya, S mengeluarkan poster kumpulan May dan menunjukkan gambar pemain gitar bass, Yus sebagai ayahnya.

Bagaimanapun, S memberitahu nama ayahnya adalah Md Nor sedangkan nama sebenar Yus adalah Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48.


Photobucket

Ibu saudara S yang enggan identitinya didedahkan mengiakan dakwaan murid darjah tiga itu bahawa Yus ayah kanak-kanak itu.

Menurutnya, S kini terpaksa bergantung hidup dan mengharap belas kasihnya dan besar kemungkinan hanya menanti detik ajal seperti dilalui ahli keluarganya lain.

Katanya, dia bersimpati terhadap nasib dilalui anak saudaranya itu dan menjaganya selepas adik perempuannya meninggal dunia pada Jun lalu.

“Adik saya sebelum ini berkahwin dengan artis kumpulan rock terkenal berkenaan sebelum dikurniakan dua cahaya mata berusia empat dan sembilan tahun.

“Namun segalanya penuh misteri apabila suami adik saya itu yang berusia 38 tahun mati mendadak kira-kira lima tahun lalu tanpa diketahui punca kematiannya, manakala anak lelaki mereka yang berusia empat tahun menghembuskan nafas terakhir tahun lalu sebelum adik perempuan saya itu mati mengejut pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.


Kumpulan Rock May
Yus (kiri) dalam poster kumpulan May





Wanita itu mendakwa, arwah adiknya tidak pernah mendedahkan penyakit dialami dan dia hanya mengetahui punca kematian itu selepas dimaklumkan pihak hospital.

“Adik saya tidak pernah berterus-terang dan memberitahu menghidap Aids sehingga dia menghembuskan nafas terakhir. Mungkin dia malu atau mahu menjaga nama baik keluarga.

“Kini, saya perlu membawa anak saudara saya (S) ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah dan mengambil ubat bagi merawat penyakitnya,” katanya.

Katanya, biarpun mengalami demam dan batuk yang berterusan, S aktif dan lincah seperti kanak-kanak lain seusianya, malah memasang impian menjadi doktor haiwan apabila besar.

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengetahui penyakit S dan mereka sudah maklum mengenai langkah yang perlu dilakukan sepanjang anak saudaranya itu berada di sekolah termasuk ketika makan dan menyertai aktiviti sukan.

Ketika ditemubual, S tidak putus-putus menahan batuk dan setiap kali batuk dia akan menutup mulutnya dengan tangan.







No comments: