Zizan Razak Digam?

Nama artis terkenal Zizan Razak cukup sinonim dengan program-program terbitan Astro. Namun, ketiadaan kelibat Wajah Eksklusif Astro itu sewaktu berlangsungnya majlis sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini, menimbulkan tanda tanya.

Lebih menghairankan, artis, pelawak dan pengacara yang pernah menempa nama menerusi program realiti Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega itu juga tidak tersenarai dalam mana-mana program yang disediakan stesen televisyen tersebut sepanjang bulan Ramadan.

Ekoran daripada beberapa siri kontroversi yang dicetuskan oleh pelakon filem Cicakman 3 itu, ramai beranggapan Zizan telah digam pihak Astro, sekali gus tidak disenaraikan terlibat dalam sebarang program stesen berkenaan.


 photo Zizan-Razak-RajaLawak-MaharajaLawak-digam-astro_zpsfgjcevql.jpg

Berkesempatan bertemu dengan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh usai majlis berkenaan dalam nada berselindung menegaskan, cerita Zizan digam, tidak berasas sama sekali.

“Zizan masih bergelar Wajah Eksklusif Astro. Dia tidak terlibat dalam mana-mana rancangan disebabkan jadual kerjanya yang terlalu padat. Kontraknya bersama Astro juga masih berjalan dan istilah Zizan digam akibat kontroversi adalah tidak benar sama sekali,” cerita Khairul tegas.

Tambahnya lagi: “Memang nama Zizan tidak tersenarai dalam program Ramadan, tetapi Zizan bakal terlibat dalam beberapa program hari raya nanti.”

Nama artis tersohor ini panas selepas cerita hubungan cinta bersama pelakon Emma Maembong putus di tengah jalan sekitar hujung tahun lalu. Lebih memburukkan keadaan, Zizan dan Emma dikatakan putus cinta kerana kehadiran orang ketiga.

Kontroversi tambah memuncak apabila bintang filem Hantu Kapcai itu kembali diperkatakan selepas dituduh menghantar mesej-mesej lucah kepada seorang peminat wanita menerusi aplikasi WhatsApp.

Lanjutan daripada kes tersebut, pihak Astro difahamkan telah merehatkan Zizan daripada muncul dalam mana-mana program di stesen televisyen berkenaan.

Habiskan Baki Kontrak

Masih bertegas, Khairul berkata, khidmat Zizan masih diperlukan lebih-lebih lagi apabila mengambil kira soal komitmen dan kredibilitinya sepanjang bergelar Wajah Eksklusif Astro.

“Tipulah jika ada yang mengatakan Zizan direhatkan, sedangkan dia kini sedang mengendalikan rancangan Ceria Popstar musim ketiga.

“Kami masih meneruskan kontraknya kerana dia begitu komited dengan kerja. Lagipun, dia mempunyai kredibiliti yang bagus sebagai seorang pengacara,” cerita Khairul lagi.

Sementara itu, mengenai program menarik yang bakal disiarkan sempena dengan kedatangan Ramadan, Astro bakal menayangkan lebih 44 buah program baharu dalam beberapa saluran Melayu.

Membawakan tema Kosong Kosong, stesen televisyen berbayar itu bakal menghidangkan program-program terbaik, selaras dengan kehendak dan permintaan penonton.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad pula berkata, terdapat pelbagai program dan drama baharu yang dijangka akan menjadi fenomena sepanjang Ramadan nanti.

“Antara program dan drama yang dijangka akan mendapat perhatian ramai ialah drama bersiri MAID lakonan artis Ayda Jebat dan Zul Ariffin.

“Selain itu, rancangan memasak popular iaitu Resipi Memikat Suami musim baharu pula bakal menampilkan pelbagai pembaharuan daripada segi penyampaian dan kandungan.

“Saya percaya, program-program ini akan memberi impak kepada penonton,” kata Raqim.

Selain itu, saluran Astro Oasis pula akan memulakan kempen Projek Ngaji yang mengajak menonton bertadarus 30 juzuk al-Quran selama 30 hari Ramadan. Sebagai kemuncak, program itu diakhiri dengan program khatam al-Quran iaitu Imarah Ramadan.

Menariknya, saluran Astro Oasis boleh ditonton secara percuma menerusi perkhidmatan Astro-On-The-Go sepanjang Ramadan.

Pengisian menarik Ramadan turut mengetengahkan sebuah drama adaptasi cerita novel berjudul Cik Bunga Encik Sombong yang akan disiarkan di saluran Astro Prima.

Semua program khas Ramadan di Astro akan memulakan siaran bermula 15 Jun ini.

Sumber : Kosmo! Edisi 06-06-2015 bersamaan 19 Syaaban 1436H

No comments: