Fahrin Ahmad Saman Linda Onn

SERI KEMBANGAN: “Apa perasaan anda apabila orang bertanyakan pada ibu anda yang sedang sakit, adakah anak anda kaki pukul?” keluh pelakon popular, Fahrin Ahmad yang tidak dapat menyembunyi perasaan sedih sehingga menitiskan air mata ketika mengumumkan tindakan undang-undang yang diambilnya pada sidang media di sini, semalam.

Photobucket

Terlalu kecewa dengan dakwaan bekas kekasihnya Linda Onn yang dia kaki pukul, Fahrin menitiskan air mata. Pelakon terkenal ini juga minta Linda memohon maaf secara terbuka. 




Kejadian itu, kata Fahrin, 30, mendorongnya mengambil tindakan undang-undang terhadap penyampai radio, Linda Onn selepas bekas kekasihnya itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, menerusi laporan dua akhbar, baru-baru ini.


Menerusi firma guaman, Tengku Naufal & Co, pelakon berkenaan mengemukakan notis tuntutan yang mengandungi empat perkara iaitu kenyataan maaf terbuka Linda menerusi akhbar, penarikan balik kenyataan penyampai radio itu terhadap Fahrin yang dibuat sebelum ini, surat aku janji secara bertulis agar dia tidak mengulangi perbuatan itu dan surat tuntutan ganti rugi.


Fahrin yang ditemani peguam Tengku Naufal Tengku Mansor dan Ahmad Hafez Zaidi, menyatakan kenyataan yang dikeluarkan Linda menerusi dua akhbar berlainan pada 19 Januari dan 20 Januari lalu, mendakwa dirinya seorang kaki pukul dan tidak menghormati wanita.


“Ini bukan keputusan mudah dan saya ambil masa panjang untuk ambil tindakan undang-undang ini. Sebelum ini, saya hanya berdiam diri tetapi kini keadaan tidak terkawal, menyebabkan saya tertekan dari aspek psikologi dan mencalar maruah saya.


“Biarpun pada mula saya anggap perkara sebegini remeh, sebaliknya apa yang dilaporkan menerusi dua akhbar ini menjadi bukti kukuh untuk saya ambil tindakan undang-undang. Kedua-dua artikel ini mewujudkan keraguan yang menjurus persoalan saya berperangai macam itu.

Photobucket
Fahrin terlalu sebak mengenangkan bagaimana dia diaibkan.  



“Sebelum ini, saya terima banyak panggilan (telefon) yang bertanya sama ada benar saya ini kaki pukul. Saya sedih dengar perkara ini kerana sikap sebenar saya bukan macam itu. Saya seorang yang ceria dan suka senyum pada orang lain,” katanya.


Fahrin berkata, tindakan undang-undang diambil bukan kerana marah, tetapi terlalu kecewa dengan sikap Linda yang melemparkan tohmahan terhadapnya.


Pelakon filem baru, 2 Hati 1 Jiwa ini juga mengakui pernah menjalinkan hubungan cinta dua tahun dengan penyampai radio berkenaan walaupun mereka menafikan hubungan sebenar dan sekadar menyatakan status ‘teman tapi mesra’. “Cinta saya ikhlas dan ia tidak seharusnya berakhir begini. Bila habis bercinta, saya bercakap perkara yang baik dan tidak reka sesuatu yang boleh membuat orang lain berprasangka buruk.


“Sebelum ini, apabila saya putus cinta dengan Linda dan Scha Al-Yahya, saya cuma berdiam diri. Saya tahu risiko bercinta dengan selebriti, tetapi saya bersyukur dan tidak kesal dengan mereka,” katanya.


Fahrin juga menyatakan ketika kenyataan Linda hangat diperkatakan banyak pihak, dia bimbang kariernya terjejas apatah lagi dirinya mewakili tiga jenama produk ‘besar’. Bagaimanapun, katanya dia bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan pihak yang melantiknya sebagai duta produk manakala anggota keluarganya turut memberikan sokongan.


Pun begitu, sejak kedua-dua artikel berkenaan disiarkan akhbar, dia tidak pernah berhubung dengan Linda.


Pelakon itu menegaskan, walau apapun yang berlaku, dia tidak berdendam dengan Linda, malah mendoakan kejayaannya.


“Saya bukan berkomplot dengannya untuk mengadakan cerita sebegini. Apa yang saya lihat, perkara ini boleh merugikan kedua-dua pihak dan memecahbelahkan peminat,” katanya.


Tengku Naufal pula menyatakan, notis tuntutan itu menjelaskan Fahrin memberi masa tujuh hari sehingga Isnin depan untuk mendapatkan maklum balas daripada Linda.


Katanya, analisis terhadap laporan kedua-dua akhbar memberi maksud jelas berita berkenaan bertujuan menghasut masyarakat agar memberi persepsi buruk pada Fahrin.


Notis bertarikh 22 Januari lalu dihantar kepada Linda dan kedua-dua akhbar berkenaan.


“Jika Linda gagal memberi respons kepada notis tuntutan ini, writ saman dan permohonan sewajarnya akan dibuat di mahkamah tinggi pada minggu depan. Bagaimanapun, jika sebaliknya, saman ini tidak dibuat,” katanya.


Mengenai jumlah writ saman yang ingin dikemukakan, Tengku Naufal berkata, ia akan ditetapkan kemudian selepas notis tuntutan selama tujuh hari itu berakhir.

No comments: