Erra Fazira Art Club

Andai hujan itu berisi percikan bara, jatuh ke tanah sekalipun, ia tetap menjadi abu yang menyuburkan kembali laman hatinya. Perumpamaannya begitulah makanan hakiki yang harus dilalui sang primadona bernama Erra Fazira.

Adakala, pedih hatinya terbakar dek kata nista orang, namun sedetik kemudian, jiwanya harus kembali bugar. Senyum di wajah harus kembali terukir demi membahagiakan hati insan-insan sekeliling. Ada ketikanya juga, secangkir daripada rasa yang terdalam harus disingkirkan demi kelangsungan hidup atas jalan seni dan populariti yang menyuluhkan hari-harinya.

Bohonglah jika hatinya tidak tercuit apabila rumah tangga yang baru dibina tiga tahun itu kembali diperkatakan orang. Didakwa sudah menjalani kaunseling gara-gara krisis sedang melanda. Suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin pula kembali menjadi buah mulut khalayak, kononnya sudah tidak bersama Erra, ibu kepada satu-satunya permata hati mereka, Engku Aleesya, 2.


Erra & Anaknya
Erra Fazira kini cenderung kepada anak-anak. Kreativiti anak kebahagiaan buatnya.


Berbunyi sedikit klise, tetapi bagi bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu, gelaran bintang yang masih diraihnya sehingga ke hari ini menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

"Ya, bayaran menjadi popular itu sangat tinggi nilainya. Sebenarnya, sejak saya melangkah untuk menjadi artis lagi, ibu saya sudah berpesan, bersediakah saya dengan segala macam onar bidang ini.

"Untuk berada di tahap sekarang, saya sudah tidak terkejut dengan segala fitnah dan khabar angin yang berlaku. Cuma saya kasihankan orang-orang di sekeliling tidak faham apa itu gosip. Hati merekalah yang harus saya jaga," sedikit lelah untuk Erra berkongsi isu yang dianggapnya sudah selesai.

Penulis mahukan sebuah jawapan daripada Erra, separah mana hatinya ketika harmonis rumah tangga berdepan fitnah. Menjawab persoalan yang dianggapnya bukan isu yang harus diulang-ulang, Erra sedikitpun tidak melatah. Dia tertawa kecil membiaskan hatinya langsung tidak terusik.

"Sudah saya katakan, khabar angin itu tidak benar, jadi ia tidak memberi apa-apa impak kepada saya. Ada yang mendakwa kami ke mahkamah untuk kaunseling, itu tidak benar. Ada juga yang 'tembak', kononnya Emran tidak hadir menonton teater Muzikal Tun Mahathir di Istana Budaya, pun tidak benar. Tiada satu pun 'tembakan' yang dilepaskan itu benar, jadi untuk apa saya terkesan dengan khabar angin sebegitu," perincian Erra terhadap dakwaan palsu yang harus ditelan sedangkan hubungan bersama Emran masih harmonis bersulam kasih.

Dari satu sudut yang lain, aktres berusia 36 tahun itu harus akur. Biarpun tidak terjejas ke atas tubuh sendiri, jelas isu keretakan rumah tangga yang enak diperkatakan ramai itu, tempias impaknya sampai kepada sanak saudaranya sendiri.

"Bagi sesetengah mereka, gosip itu sungguh memalukan. Mereka tak salah sebab mereka tidak faham 'permainan' dunia hiburan. Respons mereka itulah yang kadang-kadang menyakitkan dan menyedihkan saya. Mereka lebih percayakan cerita negatif walhal itu sekadar gosip kosong," luah Erra sedikit terkesan.

Kata Erra, beroleh kebahagiaan untuk diri sendiri bukan sesuatu perkara sukar sebaliknya membahagiakan orang di sekeliling mendesak sisi-sisi rasanya.

"Saya seorang yang praktikal, apa sahaja keputusan hidup saya haruslah dilakukan dengan ikhlas dan membahagiakan saya sepenuhnya.

"Tetapi, adakah kita akan bahagia jika kebahagiaan itu dibina atas kesedihan orang lain. Sebab itulah ada masanya kita akan mendapat kebahagiaan sebenar apabila orang-orang di sekeliling kita juga bahagia. Di situlah letakkan pengorbanan," bicaranya terarah mengisi konsep pengorbanan.

Melihat Erra di samping Aleesya yang sedang membesar, ternyata ibu yang kekal jelita itu sedang menjalani transformasi yang bukan sedikit. Keibuannya terserlah saat mengajar Aleesya mengira dan membaca. Bertuahnya Aleesya yang beribukan Erra, mainan kegemaran bahkan alat bantu belajarnya bukan lagi bongkah huruf atau kertas bergambar, sebaliknya iPad yang penuh aplikasi khas untuk kanak-kanak seusianya.

"Budak-budak sekarang sudah terlebih emosinya, apa yang kita guna, itulah yang dia mahukan," katanya berselang tawa.

Tidak seperti di awal kelahiran, tempoh ini membuatkan sifat keibuan Erra semakin berdetik.

"Bila hendak keluar bekerja, wajahnya masam dan bila pulang, bukan main girang lagi dia tengok kita balik. Tetapi ini pilihan saya, seni adalah minat dan karier saya, jadi banyak pengorbanan yang harus dibuat, ada perkara yang perlu dihadkan jika saya mahu segala-galanya seimbang," katanya.

Bertitik-tolak daripada Aleesya, Erra bersama teman-teman terutama Richie Rachman menzahirkan penubuhan Erra Fazira Art Club. Mendapat sokongan daripada badan korporat Staedler sebagai penaja utama, Art Club itu sebagai satu program sosial yang boleh dikongsikan ibu bapa bersama anak yang masih kecil memupuk minda kreatif sesuai dengan perkembangan mereka.

"Seperti ibu-ibu lain, saya mahukan yang terbaik untuk anak perempuan saya. Untuk hantar anak-anak ke kelas seni, bayarannya sangat mahal dan tidak semua ibu bapa mampu berbuat demikian, dengan Erra Art Club, saya mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat," katanya yang baru sahaja melancarkan Erra Fazira Art Club bertempat di My Favorite Art House di Tropicana City Mall, kelmarin.

Menyentuh sedikit kerja seninya, Erra kini sedang muncul sebagai juri tetap program Mari Menari di Astro Ria serta mengacarakan program kanak-kanak Tiger Foorball Starz musim kedua.

Kali terakhir muncul menerusi filem Anak sebagai pelakon utama, primadona filem Melayu itu bakal meluahkan kerinduannya untuk kembali beraksi di layar lebar.

"Saya ada ditawarkan satu watak yang menarik. Kali ini bukan jahat-jahat manja lagi, tetapi sebagai pembunuh bersiri, menariknya ia sebuah filem aksi tetapi pembunuh bersiri itu seorang yang pekak dan bisu. Mungkin awal tahun depan tetapi setakat ini ada beberapa jadual sedang bertindih. Kita tengoklah apa yang bakal saya korbankan nanti," katanya yang masih berstatus Bintang Eksklusif milik Astro.





No comments: