Awie Dapat Hak Jaga Anak

KUANTAN: Penyanyi utama kumpulan Wings, Awie melaungkan takbir tiga kali sebaik melangkah keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, selepas mendapat hak penjagaan sementara kedua-dua anaknya.

Dia sebelum itu mengucapkan ‘alhamdulillah’ sekuat hati ketika membuka pintu mahkamah seolah-olah lega dapat menjaga sementara Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.

Photobucket - Video and Image Hosting

Kedua-dua kanak-kanak itu hasil perkahwinannya dengan pelakon dan penyanyi, Arni Nazira Anuar.

Rumah tangga mereka runtuh selepas penyanyi itu melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, 16 Oktober tahun lalu.

Menurut Awie, dia bersyukur dengan keputusan itu yang masih berpihak kepadanya bagi meneruskan hak penjagaan sementara dua anaknnya seperti diputuskan Mahkamah Rendah Syariah tahun lalu.

“Setakat ini, saya bersyukur tetapi hendak kata berpuas hati belum lagi kerana masih menunggu hak penjagaan kekal terhadap kedua anak saya itu,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah itu.


Sementara itu, Arni berkata, dia menerima keputusan itu dengan penuh kesyukuran kerana mahkamah membenarkan dia berjumpa dua anak perempuannya lebih kerap berbanding sebelum ini.

“Mahkamah membenarkan saya berjumpa mereka setiap hujung minggu berbanding hanya sebulan sekali, termasuk cuti sekolah.

“Namun, saya akan terus berdoa dan berusaha bagi memastikan hak penjagaan kekal berpihak kepada saya.

“Saya kini menetap di Taman Saga, Cheras, Kuala Lumpur kerana berhampiran dengan tabika anak kedua saya itu,” katanya.

Pada 11 Disember tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah hanya membenarkan Arni mengambil dua anaknya daripada jagaan bekas suami bermula jam 9 pagi Sabtu hingga jam 5 petang Ahad setiap hujung bulan.

Semalam, permohonan Arni bagi membatalkan hak jagaan sementara diberikan kepada Awie ditolak Mahkamah Tinggi Syariah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Md Yunus memutuskan Awie berhak mendapat hak jagaan sementara, Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa hingga perbicaraan hak jagaan kekal dijalankan.

Menurutnya, kedua-dua pihak harus menghormati persetujuan dibuat mereka selepas berlaku perceraian pada 16 Oktober tahun lalu apabila Arni bersetuju menyerahkan hak jagaan sementara kepada bekas suaminya.

Mahkamah yang sama kemudian mengesahkan hak jagaan sementara diberi kepada Awie, pada 11 Disember tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, mahkamah juga keliru dengan tindakan Arni yang memberikan lima alamat tempat tinggal berbeza di Pahang, Terengganu dan Selangor berbanding Awie yang hanya menyatakan satu alamat di Selangor sepanjang kes dibicarakan.

Menurutnya, Arni sebagai ibu perlu menyediakan tempat tinggal yang tetap demi keselamatan kedua-dua anaknya berikutan alamat yang diberikan agak berjauhan dengan alamat rumah Awie.

“Arni memberikan alamat yang berbeza dan berjauhan. Jika dikira, antara Pahang dan Selangor melebihi 300 kilometer, manakala antara Terengganu dan Selangor pula kira-kira 600 kilometer,” katanya.


Beliau berkata, mahkamah juga mengambil kira anak pertama pasangan itu yang sudah bersekolah tahun satu di Selangor dan tidak wajar dia berpindah lagi dan bersekolah di negeri lain.

“Anak kedua tidak boleh dipisahkan daripada kakaknya. Justeru, mahkamah mengekalkan hak jagaan sementara ini kepada Awie.

“Namun, Arni perlu memahami konsep hadanah ini kerana walaupun interim diberi kepada plaintif, dia tidak hilang hak sepenuhnya,” katanya turut menetapkan hak jagaan sementara yang dikeluarkan terhadap Awie Disember lalu dipinda bagi memberi keadilan kepada bekas isteri.

Abdul Rahman seterusnya memutuskan hak lawatan dan bermalam dua kanak-kanak itu yang sebelum ini diberi sekali sebulan kepada Arni, diubah kepada setiap minggu mengikut alamat tempat tinggal terakhirnya di Selangor.

Malah, waktu cuti sekolah anak dibagi sama rata kepada Awie dan Arni membolehkan kanak-kanak berkenaan berpeluang berjumpa dan bermesra dengan anggota keluarga kedua-dua pihak.

Selain itu, beliau membatalkan ketetapan para tiga yang sebelum ini hanya membenarkan Arni bersama dua anaknya itu dalam kawasan Selangor dan Pahang.

Sebelum mengakhiri keputusannya, Abdul Rahman mengemukakan jika ada sebarang persetujuan yang dicapai antara kedua-dua pihak selepas ini, mereka boleh maklum kepada mahkamah untuk direkodkan sementara menunggu kes mendapatkan hak jagaan kekal dibicarakan pada 10 dan 11 Mei depan.

Awie diwakili peguam, Mohd Sazali Abdul Aziz dan Mastuni Muhammad, manakala Arni yang berbaju kurung hitam berbunga merah jambu dan bertudung hitam diwakili peguam, Mohd Zuki Che Mat Ghani dan Aminuddin Abdullah.


No comments: