Farid Kamil Musuh Syamsul Yusof ?

MEMANJAT kesyukuran terhadap Illahi dengan kemenangannya pada Festival Filem Malaysia ke-23, Syamsul Yusof mengadakan majlis bagi tujuan itu baru-baru ini di kediamannya.

Pelakon dan pengarah muda yang juga merupakan anak kepada pengarah tersohor Malaysia, Datuk Yusof Haslam itu telah memenangi kategori Pengarah Terbaik FFM23.

Namun, di sebalik kegembiraan dan senyuman yang dapat dilihat umum, terselit juga kesedihan dan kekesalan dalam diri anak muda berusia 26 tahun ini tentang apa yang telah berlaku selepas menjulang anugerah berprestij itu.


Photobucket

Syamsul mengadakan majlis kesyukuran sempena kejayaan yang diraihnya pada Festival Filem Malaysia ke-23 di kediaman keluarganya di Taman Melawati, Selangor Isnin lepas.


Ini kerana banyak pihak tampil tidak berpuas hati dengan kemenangannya itu.

Tidak perlulah disebut siapakah gerangannya 'banyak pihak' tersebut dan apa kata-kata tidak puas hati yang dihamburkan mereka, kerana kelak ia membuat luka yang sudah parah bertambah parah, tetapi cukup kalau dikatakan hati Syamsul juga luka parah impak hal tersebut.

Cuma Syamsul paling terasa apabila pelakon Farid Kamil mengeluarkan kenyataan media mengulas mengenai dirinya yang kalah dalam pencalonan Pengarah Terbaik FFM23.

Sebenarnya, sama seperti Syamsul yang baru bergelar pengarah menerusi sebuah filem iaitu KL Drift 2 dan terus tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik FFM23, Farid juga baru bergelar pengarah menerusi hanya sebuah filem arahannya iaitu V3: Samseng Jalanan dan sama seperti dia juga turut tercalon dalam kategori itu bersama Syamsul dan tiga calon lain termasuk Jason Chong untuk filem Belukar, Mamat Khalid (Estet) dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Adfnan Sempit).

Cuma perbezaannya Syamsul menang dan Farid kalah!

Apa yang menarik, Syamsul dan Farid merupakan rakan baik, malah mereka bergandingan dalam Evolusi KL Drift 2, yang mana Farid turut berlakon salah satu watak penting dalam filem itu.

Kini, hubungan Syamsul dan Farid dikatakan dingin kesan kemenangan Syamsul pada FFM23.

Mengapa? Ikuti temu bual Syamsul dengan Kosmo! di kediaman keluarganya di Darul Haslam, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, Isnin lepas.

Kosmo!: Bagaimana hubungan Syamsul dengan Farid Kamil selepas FFM23?

SYAMSUL: Pada saya, dia sama seperti saya - seorang pengarah muda. Walaupun (baru mengarah) satu filem, namanya sudah tercalon di dalam kategori pengarah terbaik, untuk lima tempat teratas (Top 5). Saya rasa dia juga harus berbangga dan saya juga tumpang berbangga dengan pencapaiannya.

Bagaimana pula dengan Azhari Zain (pengarah filem Mantra)? Kalau nak dibandingkan dengan Farid dan Azhari, banyak filem yang telah dibuat seperti Santau, Mantra dan sebagainya. Ia jelas kelihatan pencapaiannya dan kalau nak diikutkan, Azhari Zain lebih berhak berada di tempat Farid Kamil.

Tetapi adakah Azhari mempertikaikannya (apabila dia langsung tidak tersenarai dalam calon Top 5 Pengarah Terbaik)?

Sebagai profesional, Azhari tidak berbuat demikian kerana mungkin dia juga menganggap ini semua rezeki masing-masing.

Jadi, dengan kemenangan saya, Farid mengeluarkan kata-kata (kenyataan media) seperti "Saya tidak kisah kalau tidak menang, tetapi sahabat saya Bront menang". Jadi, saya pun terfikir, siapa saya? Adakah saya ini bukan sahabatnya juga?

Ini kerana saya mengenali Farid Kamil sejak filem pertama saya (Evolusi KL Drift). Kami berkawan sejak saya masih berkawan dengan (aktres) Diana Danielle lagi tetapi dia (boleh) berkata begitu.

Sebagai kawan saya berasa sedih dan sekarang baru saya tahu siapa sahabat sebenar dan sebaliknya.

Dengan kemenangan saya, saya harapkan ia menjadi inspirasi kepada dia sebagai pengarah muda, dan tidak perlu pertikaikan kemenangan saya itu.

Saya pun ada berkata, kemenangan ini adalah sebagai inspirasi kepada pengarah-pengarah muda terutamanya Farid Kamil, Pierre Andre dan semuanya yang mana walaupun kita masih muda, kita mampu membuat yang terbaik, insya-Allah.

Anda seolah-olah seperti kasihankan Farid pula. Boleh komen?


Photobucket

Persahabatan antara Syamsul dan Farid tergugat gara-gara sebuah trofi.



Jika difikir semula, untuk apa mahu bergaduh? Macam-macam saya boleh cakap, tetapi seperti kalau ikutkan hati, mati. Kalau kita marah, kadangkala, kita buat perkara yang di luar pemikiran. Kadang-kadang apa yang kita cakap juga harus berlapik. Itu sahaja yang mampu saya cakap.

Apa jalan penyelesaian yang Syamsul akan buat selepas ini?

Jangan kerana satu anugerah ini kita bermusuhan. Kita perlu terima kenyataan. Mungkin tahun ini bukan rezeki kita, mungkin bukan rezeki dia, rezeki saya. Kenapa perlu mengeluarkan kenyataan seperti "Selepas ini saya perlu belajar daripada anak Datuk Yusof Haslam macam mana hendak mengarah".

Kenapa perlu mengeluarkan kenyataan yang sebegitu? Bagi saya kalau suatu hari nanti bila saya dah (berusia) 40 atau 50 tahun, mana tahu jika saya masih lagi membuat filem, tiba-tiba ada pemuda berumur 25 tahun, hasil arahannya bagus dan dia terpilih sebagai pemenang pengarah terbaik, takkan saya nak persoalkan.

Sepatutnya bukan salahkan orang lain apabila tak menang, tetapi kaji semula kenapa tak dapat anugerah ini. Tetapi ia berbalik kepada rezeki juga, saya pun tidak mengatakan yang filem yang laku di pawagam bagus dan filem yang tak laku tidak bagus. Tidak semestinya kerana perkara ini terlalu subjektif. Kita tidak boleh nak paksa orang.

Selepas menang anugerah Pengarah Terbaik FFM23, adakah ia akan memberi tekanan kepada Syamsul pada masa akan datang?

Tidak sama sekali. Sekiranya saya tidak memenangi anugerah ini pun saya akan tingkatkan, perbaiki kelemahan-kelemahan yang saya ada dari segi penceritaan, lakonan dan sebagai seorang pengarah.

Namun dengan kemenangan ini, bertambah membakar semangat saya untuk buat sesuatu yang berlainan. Alhamdulillah selepas kemenangan ini, orang akan dapat saksikan filem seram pertama saya berjudul Khurafat yang dilakonkan oleh saya sendiri dan Liyana Jasmay.

Itu adalah permulaan lain dalam sentuhan saya kerana sebelum ini orang dapat tonton filem-filem saya yang mempunyai mesej secara terus.

Namun menerusi Khurafat, ia secara keseluruhannya berlainan. Ada unsur-unsur Islamik saya cuba masukkan dan alhamdulillah, maklum balas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga bagus.


Filem Khurafat akan ditayangkan pada 13 Januari tahun depan yang merupakan filem tempatan pembukaan 2011. Tahun hadapan pun paling kurang saya akan buat tiga filem dan kalau boleh empat filem. Hendak beritahu pun masih terlalu awal, tetapi ada banyak genre seperti seram, aksi dan komedi.







No comments: