Deanna Yusuf : Saya Masih Solo!

MODEL dan pelakon terkenal Deanna Yusuf mengakui pelbagai gosip disebarkan pihak tertentu mengenai statusnya, termasuk dikatakan sudah berkahwin di luar negara dan memiliki anak.

Tidak ketinggalan, pelakon jelita ini dikatakan sudah bercerai dan kini memegang status janda. Hakikatnya, dalam meniti usia penghujung 30-an, Deanna masih hidup membujang. “Sebenarnya, ketika saya di Switzerland lagi ada rakan memberitahu gosip saya sudah berkahwin dan memiliki anak disebarkan menerusi Internet.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Ironinya, setiap kali saya ke luar negara, akan keluar cerita saya berkahwin di negara berkenaan pula. Sebenarnya, saya masih solo lagi.

“Saya akui sudah ada teman istimewa dan kami baru saja menjalinkan hubungan. Dia jejaka tempatan, tapi kami belum merancang untuk berumah tangga.

“Berita perceraian yang membabitkan dunia artis sejak kebelakangan ini mengajar saya supaya berfikir masak-masak sebelum memutuskan untuk hidup berumah tangga. Apapun, saya sedar soal jodoh ini ketentuan Tuhan,” katanya.

Deanna juga mengakui pernah putus cinta sebelum ini.

“Sejak kecil, saya sudah dididik hidup berdikari. Apatah lagi, ibu dan bapa saya sudah berpisah sejak usia sebelas tahun. Saya sedar, bukan semua lelaki boleh menerima wanita berdikari seperti saya.


“Tapi, ada juga lelaki tidak boleh terima wanita yang terlalu bergantung dalam hidup mereka,” katanya.

Sudah menjadi fitrah wanita di dunia ini, kata Deanna, ingin membina keluarga bahagia dan memiliki anak dari darah daging sendiri.

“Sekurang-kurangnya saya ingin memiliki dua anak. Mungkin saya akan ambil anak angkat jika sudah menunggu lama dan belum dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin nanti,” katanya.

Ketika menjayakan sesi fotografi yang diatur pihak Golden Screen Cinemas (GSC) di Bangsar, kelmarin untuk promosi filem lakonannya Chermin, Deanna berkata, dia baru saja kembali dari bercuti selama tiga minggu di Switzerland.

“Saya melawat ibu dan abang di sana. Maklumlah, sudah setahun saya tidak pulang menziarahi keluarga di sana.


“Sekalipun ibu bapa saya sudah bercerai tapi hubungan kami sekeluarga begitu rapat. Bapa juga tinggal dengan saya ketika hayatnya dulu.

“Saya juga masih sukar menerima hakikat kehilangan bapa yang kembali ke Rahmatullah kerana penyakit jantung pada 29 Januari lalu,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, Deanna berkata, Chermin adalah projek filem tempatan terbarunya, selepas filem terakhirnya, Ringgit Kassorga.

“Bukannya tiada tawaran untuk projek filem mahupun drama di sini, tapi agenda seni saya begitu padat.

“Saya perlu bijak membahagikan masa kerana selain berlakon, mengacarakan majlis dan sesekali memperaga, saya juga menerima undangan persembahan (nyanyian) untuk makan malam korporat.


“Mungkin orang tidak tahu saya menyanyi lagu jazz di majlis eksklusif bagi penggemar muzik genre itu.

“Saya juga buat projek siri televisyen dan filem di luar negara. Antaranya, siri televisyen, Random Acts yang dibintangi sepuluh pelakon terkenal di Singapura. Manakala, dua projek filem saya di Perancis ialah Un Homme En Colere (1999) dan Passeur D’enfants (2002),” katanya.

Bagi Deanna, dia menerima tawaran berlakon dalam Chermin kerana filem arahan pengarah bebas, Zarina Abdullah itu ada kelainan dan skripnya juga menarik.

“Saya sudah lama dalam bidang lakonan dan sudah pelbagai watak saya jayakan sebelum ini. Secara peribadi saya juga sudah mencapai kepuasan dalam bidang lakonan.

“Kini, sudah sampai masanya saya selektif dalam menerima watak ditawarkan.


“Sekalipun Mastura sekadar watak pembantu, tapi saya terima kerana tertarik dengan keseluruhan jalan ceritanya.

“Saya suka bekerja dengan Zarina kerana dia profesional dan tahu apa yang dia buat. Mungkin orang fikir ini filem ‘comeback’ saya selepas sekian lama tidak berlakon. Apa yang penting, ia pengalaman berharga buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Deanna berkata, dia bersedia mempertimbangkan tawaran berlakon drama ataupun filem baru tahun ini jika ada kelapangan.

“Saya berlakon kerana minat dan bukan kerana wang atau mengejar anugerah. Selagi ada tawaran saya akan terus berlakon.

“Selalunya, tawaran datang bila saya sudah ada projek lain. Contohnya, saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama dengan Eman Manan kerana saya sudah ada projek lain, sedangkan saya suka berlakon dengannya.


“Antara pengarah yang ingin saya bekerjasama ialah Yasmin Ahmad. Saya mengagumi karyanya sejak dulu. Selain Yasmin ialah Adman Salleh. Saya memang menanti tawaran bekerja dengan pengarah yang bagus seperti mereka,” katanya.




PROFIL

Nama: Deanna Yusuf

Umur: 39 tahun

Kerjaya: Pelakon, peragawati dan penyanyi

Status: Bujang

Antara drama: Tirkah, Spanar Jaya, Idaman, Destinasi Hijrah, Cinta

Sekeping Kad.


Antara Filem: Anna & The King, Ringgit Kasorrga, Abang 92, Selubung, filem Perancis Un Homme En Colere (1999) dan Passeur D’ enfants (2002).


Anugerah: Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-10 (1992) menerusi filem Selubung






No comments: