Puteri Lily Cinta Baru Aziz M. Osman


Apabila pengarah popular Aziz M. Osman muncul berteman si jelita pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 Disember lalu, cerita panas terbaru mengenai duda popular ini mula kembali bertebaran.


Hadir menepati tema acara, pasangan ini kelihatan cukup intim, sambil sesekali berpegangan tangan, Aziz dan wanita itu nampak sepadan. Lantaran itu, timbul angin-angin persoalan tentang kedudukan gadis itu di hati Aziz.


Selang beberapa hari gambar pasangan itu dipotretkan indah oleh para jurugambar dan peminat pada ASK2009, timbul pula khabar angin yang mengaitkan gadis itu sebagai ialah tunangan kepada lelaki berusia 47 tahun itu.


Ingin mendapatkan kepastian tentang gosip yang melata liar itu, Kosmo! sempat mendapatkan penjelasan daripada Aziz sendiri. Tatkala telefon bimbitnya cuba dibolosi, kedengaran suara lembut seorang gadis di hujung talian.


Daripada perbualan ringkas, rupa-rupanya yang mengangkat telefon Aziz ialah gadis jelita yang sama dengan Aziz di ASK2009 dua minggu lalu.

Photobucket

Kalau sudah begitu intim sehinggakan boleh mengangkat telefon Aziz seperti seorang pengurus peribadi, benarlah keakraban mereka bukanlah mainan. Kalau ditafsir secara luaran keakraban itu mungkin boleh disimpulkan lebih daripada batasan teman biasa.


Aziz awal-awal lagi sepertinya dapat mengagak apa yang cuba diselidik di hatinya. Lantaran itu, hanya kedengaran tawa dan canda Aziz apabila soalan berhubung kisah cintanya cuba digali.


"Saya tidak mengiyakan atau menidakkan tentang perhubungan ini. Terlalu awal untuk bercakap tentang soal isi hati, apa yang dapat diberitahu, saya dan dia masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.


"Saya bawa dia bersama pada ASK2009 disebabkan mempunyai tiket lebih. Saya terus mengajaknya dan kebetulan dia lapang pada malam itu. Jadi tiada salahnya kalau kami pergi sekali.


"Terus-terang, bukan saya tidak mahu berkongsi perkara ini dengan wartawan dan orang ramai. Sebaliknya dengar awak tanya soalan ini, saya sendiri sudah mula loya. Lainlah kalau saya ini ibarat Datuk Siti Nurhaliza atau Anuar Zain.


"Saya orang biasa yang terlibat di belakang tabir saja. Rasanya tidak perlulah memperbesarkan soal ini," jelas Aziz yang tidak menafikan individu yang menyambut panggilan telefon bimbit itu merupakan gadis yang dimaksudkan atau namanya Puteri Lily Lokman.


Bercakap lebih lanjut tentang wanita itu, Aziz memberitahu dia adalah seorang model dan pelakon yang baru hendak membina tapak di gelanggang seni.

Photobucket
"Dia ada berlakon dalam drama bersiri Bong terbitan Ace Motion Pictures sebelum ini. Tetapi saya tidak mengenalinya kerana drama ini diarahkan oleh Muhammad Hafiez Othman.


"Saya tahu ada segelintir pihak di luar sana yang membuat andaian sambil mengatakan perkenalan kami disebabkan dia berlakon dengan produksi milik saya dan bekas isteri, Nur Aliah Lee.


"Hakikatnya, saya sendiri tidak tahu Puteri Lily seorang artis waktu kali pertama mengenalinya. Kami diperkenalkan oleh teman sebelum puasa puasa tahun ini. Situasi ini sama saja perkenalan saya dengan orang lain. Cuma tiba-tiba saya jadi rapat selepas berkawan dengannya.


"Kalau hendak tahu tentang Puteri Lily Lokman, saya rasa lebih bagus jika anda sendiri bertanya kepadanya. Takut kalau saya cakap itu dan ini, orang lain yang rapat dengan dirinya menganggap ia tidak benar sekali gus ia mampu mengelirukan keadaan.


"Tetapi saya mohon agar jangan sesekali memanjangkan cerita ini. Malu saya dibuatnya," jelasnya bersungguh-sungguh.


Kalau sedang mengenali isi hati, sudah pasti ada beberapa kualiti tentang Puteri Lily yang diketahui oleh Aziz. Bercakap tentang sikap dan personaliti wanita itu, Aziz tanpa berahsia menyelak satu-persatu lembaran yang sebelum ini disimpan erat dalam jiwanya.


"Dia seorang yang cantik luar dan dalam. Maksudnya ialah Puteri Lily pandai menjaga hati anak-anak saya. Saya cukup selesa apabila ada individu yang mudah serasi dengan keenam-enam cahaya mata saya ini.


"Kalau ada yang bercakap saya mulai bertukar cita rasa daripada wanita bertudung di kepala kepada wanita seperti Puteri Lily, itu tidak benar.


"Kita sebagai manusia biasa tidak boleh sesekali menilai orang lain daripada apa yang dilihat secara luaran. Saya tidak mahu jadi orang yang skeptikal atau lekas menjatuhkan hukuman terhadap insan lain.


"Pendek kata, jangan cepat membuat andaian, kalau perempuan ini berambut perang maka sikapnya juga tidak baik. Setiap orang ada kecantikan luaran dan dalaman," terang Aziz.


Anak lelaki kepada pelakon veteran Afida Es dan Allahyarham M. Osman itu bagaimanapun masih belum membuat sebarang perancangan untuk berkahwin lagi selepas beberapa kali gagal dalam ikatan perkahwinan.


"Sekarang saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak yang semakin membesar. Paling penting, saya hendak tengok Nur Aliah Lee berkahwin dulu. Kemudian barulah saya akan berfikir tentang diri," jelasnya ringkas.


Aziz dengan bekas isterinya dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5.


Dalam pada itu, Kosmo! sempat meminta kebenaran daripada Aziz untuk bercakap sendiri dengan Puteri Lily. Terus-terang, tidak banyak dibualkan oleh gadis yang berusia awal 20-an dan berasal dari Kuala Lumpur itu.


Lontaran suaranya sangat lemah-lembut, malah tuan empunya diri sepertinya enggan mendedahkan lebih terperinci tentang status hubungannya dengan Aziz.


"Kami berkenalan beberapa bulan lalu. Sejujurnya, Aziz merupakan insan yang paling rapat dengan saya buat masa ini. Saya gembira menjalinkan persahabatan dengannya.


"Saya dapat belajar banyak perkara tentang asas lakonan dan soal kehidupan daripada Aziz. Cuma saya harap orang ramai tidak lekas berfikiran negatif. Sebaliknya kita harus fikir positif sepanjang masa.


"Memang saya dan Aziz banyak terdengar cerita tentang kami sebelum ini. Tetapi kami malas hendak mengambil peduli kenyataan yang terang-terangan tidak betul sama sekali. Paling penting, hanya saya, Aziz dan keluarga terdekat yang tahu.


"Suka hatilah kalau ada yang hendak bercakap bukan-bukan tentang perhubungan kami. Berita tentang kami sudah mengikat tali pertunangan juga tidak berasas," akhiri Puteri Lily yang juga membintangi drama bersiri Awan Dania.





No comments: