Aidiladha Erra, Fahrin & Lisa Surihani

Sempena meraikan Aidiladha yang mulia ini, tiga artis popular tanah air iaitu Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, Fahrin Ahmad dan Lisa Surihani Mohamed berkongsi pengertian Aidiladha mereka selain hasrat untuk mengerjakan haji pada usia muda.


Photobucket






Erra sudah daftar untuk tunaikan haji

ERRA yang sudah beberapa kali menjejakkan kaki di Tanah Suci mengerjakan umrah, tidak berselindung memberitahu dia sudah pun mendaftar untuk haji. Bagaimanapun, kini dia perlu menunggu giliran.

“Selain merindui Kaabah, saya juga rindu pada perasaan yang tenang dan damai. Terutama apabila sepenuh masa terisi dengan ibadat dan berdoa kepada-Nya. Jadi, jiwa sangat tenang dan kesepian amat dirasai sepanjang bertawakal.

“Perasaan seperti itu memang tak pernah dirasakan di rumah. Oleh itu, saya sangat berharap ketika usia masih muda ini dapat mengerjakan haji. Itu doa saya dan semoga ia dimakbulkan suatu hari nanti,” kata pelakon yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu ini.

Ditanya mengenai sambutannya, Erra berkata dia dan keluarga meraikan Aidiladha secara sederhana dengan berkumpul bersama. Malah, tak ketinggalan melakukan ibadah korban.

Turut menjadi penasihat dalam program Mari Menari terbitan Astro, Erra berkata jadualnya kini sangat padat. Bahkan, dia sangat berpuas hati dengan komitmen diberikan peserta. Katanya peserta bersaing secara sihat dan mereka cukup bersemangat.

Fahrin teringin ke Makkah bersama isteri

Empat kali melakukan umrah, Fahrin menyimpan impian mengerjakan haji selepas dia mendirikan rumah tangga. Katanya ia perkara pertama akan lakukan sebaik hajat membina keluarga dimakbulkan Tuhan. Katanya dia mahu buat haji bersama isteri.

“Tak tahulah bila jodoh saya akan sampai. Apapun, saya merayu kepada media supaya tiada lagi kisah berkaitan peribadi diperkatakan. Cukuplah, dengan apa yang ditulis sebelum ini kerana saya menginginkan perjalanan jodoh yang lancar." katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Fahrin berkata dia kini dalam proses menukar karier demi jaminan masa depannya. Ujarnya dia merancang untuk terbabit dalam bidang perniagaan dan jika tiada aral, ia akan diumum tidak lama lagi.

“Sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan, saya akan mengumumkannya. Ditambah lagi, pada usia yang kini sudah mencecah 30-an, sudah sampai masanya saya merancang karier baru. Lagipun, selama menjadi artis terlalu banyak menyakitkan hati.

Menyentuh soal kerinduannya terhadap Tanah Suci, Fahrin berkata dia mahu memandang Kaabah dan berdoa di hadapannya. Kata Fahrin, jiwa dan perasaan sangat tenang sepanjang beribadat kerana segala urusan duniawi dilupakan.

Lisa idam buat umrah

Berbicara mengenai haji, Lisa berkata dia masih belum berpeluang menjejakkan kaki di Tanah Suci. Katanya dia memang menyimpan impian untuk mengerjakan umrah lebih dulu sebelum haji. Ujar Lisa, barangkali seruan untuknya belum sampai.

“Mengikut kata orang tua dulu, untuk ke Tanah Suci ini bersandarkan seruan. Jadi, mungkin seruan untuk saya mengerjakan rukun Islam kelima ini belum menjelma. Apapun, saya harap dapat mengerjakan haji pada usia muda kerana masih kuat.

“Mendengar cerita ibu dan arwah bapa yang pernah mengerjakan haji, saya memang teringin sangat untuk ke Tanah Suci. Saya ingin merasai ketenangan dan kedamaian mereka beribadat kepada Allah. Saya juga ingin menjadi tetamu Allah suatu hari nanti,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Lisa berkata dia sekeluarga meraikannya secara sederhana. Katanya seperti biasa, dia juga melakukan ibadah korban.

Baru dua tahun aktif sebagai pelakon, Lisa Surihani sudah membintangi tujuh filem. Bahkan, baru-baru ini dia meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang sekali gus meletakkan dirinya sebagai primadona filem Melayu alaf baru.






No comments: