"Saya tak boikot sesiapa!" - Ina Naim

HEBAT, memang hebat apabila bercerita mengenai bakat baru yang seorang ini. Sejak mula bergelar artis, perkataan kontroversi tidak pernah lekang dalam hidupnya. Terbaru, tidak sampai setahun jagung menceburkan diri dalam bidang seni, penyanyi yang mendapat jolokan Paris Hilton Malaysia ini dikatakan ingin memboikot wartawan yang masih mengaitkan namanya dengan bekas tunangnya, Mawi.

Kenyataan sensasi itu dikeluarkan Nur Diana Naim atau Ina ketika ditemubual sebuah majalah hiburan. Dalam laporan itu, Ina berkata dia bercadang untuk mengenakan tindakan itu kerana tidak tahan dikecam dengan tuduhan cuba menumpang populariti penyanyi nombor satu negara itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ina Naim diberi jolokan Paris Hilton Malaysia

Kalau benarlah Ina ingin mengenakan tindakan sedemikian, ternyata dia memecahkan rekod di kalangan artis baru yang secara terangan cuba memusuhi wartawan dengan ‘hukuman’ seperti itu. Namun, persoalannya, beranikah Ina?


Jika dia benar-benar bertegas dengan keputusannya itu bagaimana pula kesannya terhadap hubungan Ina dengan pihak media yang selama ini banyak membantunya ketika dia tersungkur dan rebah di kaki cinta, suatu ketika dulu.

Gadis yang berasal dari Felcra Kayu Ara ini berkata dia tidak bermaksud untuk melukakan hati mana-mana pihak dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Ina minta maaf. Apa yang boleh dikatakan adalah Ina terlepas cakap kerana ketika itu berada di dalam keadaan marah. Ina tidak akan menggam atau memboikot sesiapa atau mana-mana media,” ujarnya kepada Hip malam Khamis lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Ina berkata tindakannya itu adalah sekadar ingin meluahkan perasaan tertekan apabila masih ada pihak wartawan yang mengaitkannya dengan bekas tunangannya itu.

“Jadi selepas ini, tolonglah jangan babitkan nama dia dalam kehidupan Ina. Cukuplah, banyak tuduhan dan kecaman yang Ina terima apabila perkara seperti ini ditimbulkan. Kasihanilah Ina. Ina tidak mahu perkara seperti ini berlanjutan. Biarlah Ina meneruskan karier Ina tanpa sebarang kontroversi,” rayunya menagih simpati.

Ditanya apakah hubungannya dengan media terjejas gara-gara kenyataannya itu, Ina berkata setakat ini tidak berlaku sebarang masalah.

“Hubungan Ina dengan pihak wartawan terjalin seperti biasa kerana ada juga media yang rapat dengan Ina dan ada yang tidak. Cuma selepas ini, Ina akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan lebih bijak membezakan yang mana satu kawan, yang mana satu lawan,” luah Ina penuh bermakna.



Nafi jalin hubungan sulit dengan anggota Hijazz

SEIRING dengan isu cuba boikot wartawan, gadis yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini turut dihimpit dengan kontroversi dikatakan menjalinkan hubungan terlarang dengan suami orang. Lebih sensasi lagi apabila lelaki yang dikaitkan dengannya itu adalah Isman, salah seorang anggota kumpulan nasyid terkenal Hijazz.

Seakan mengerti maksud pertanyaan penulis, Ina dengan pantas menafikan cerita yang disifatkannya sebagai fitnah yang cuba memburukkan reputasinya di mata orang luar.

“Masa mula-mula mendengar cerita ini, saya dan Abang Isman tergelak besar. Iyalah, rasa kelakar sangat apabila ada yang buat cerita tak betul mengenai kami.

“Kalau ada yang masih tak percaya, Ina sanggup bersumpah dan junjung al-Quran demi menyatakan kebenaran,” tegas gadis yang bakal mencecah usia 23 tahun, 19 Mac depan.

Dijolok pertanyaan nakal, kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang, Ina berkata untuk apa yang dia mengaku sesuatu yang tidak dilakukannya.

“Hubungan Ina dengan anggota Hijazz lain memang macam keluarga. Ina anggap mereka macam abang Ina sendiri. Lagipun Ina mengenali kesemua isteri anggota Hijazz.

“Takkanlah Ina nak buat perkara yang tak elok pula. Justeru, Ina rasa Ina tidak perlu takut kerana Ina tak buat perkara seperti yang mereka dakwa” jelas Ina mempertahankan pendiriannya.

Ditanya apakah dia dan Isman ada berbincang mengenai isu ini sebaik saja ia mula diperkatakan, Ina berkata itu semua tidak perlu kerana mereka mengetahui perkara sebenar.

“Mungkin ada yang salah faham melihat kemesraan kami. Untuk pengetahuan semua, kadang-kadang, kalau Ina berkunjung ke pejabat Hijazz, Ina akan mengambil kesempatan untuk belajar mengenai industri muzik dengan mereka.

“Macam Abang Isman dia pandai main dram, Abang Munif pula akan ajar bagaimana menghayati lagu dan menulis lirik. Memandangkan Ina adalah artis mereka jadi mengapa tidak Ina gunakan peluang seperti ini demi kebaikan Ina,” jelas Ina meluahkan rasa kesalnya kerana tidak habis-habis menjadi mangsa fitnah.

Ditanya apakah reaksi keluarganya apabila timbul cerita sebegitu, Ina memberitahu ibu bapanya sudah lali mendengar fitnah yang dilemparkan terhadap anak sulungnya itu.

Justeru, Ina bermohon supaya mereka yang terbabit menyebarkan fitnah itu supaya menghentikan perbuatan mereka yang sia-sia itu.


Lega lagu tidak digam

SEBELUM ini heboh mengatakan album sulungnya digam sebuah stesen radio. Namun ternyata dakwaan itu tidak benar apabila lagunya kedengaran berkumandang di rangkaian stesen terbabit. Sebagai penyanyi, Ina meluahkan rasa syukur kerana perkara seperti itu tidak menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, Ina rasa gembira sangat kerana lagu nyanyian Ina berpeluang untuk disiarkan di radio dan didengari peminat. Ini secara tidak langsung menjadi medan promosi untuk album ini,” katanya sambil memberitahu album mininya itu sudah pun terjual melebihi 7,000 unit.

Menurut Ina, walaupun pihak Hijazz Records mensasarkan angka jualan sebanyak 10 ribu unit, namun sebagai artis baru, Ina berpuas hati dengan pencapaiannya itu.

“Dalam keadaan pasaran album yang tidak menentu ini, jumlah 7,000 unit itu sudah memadai. Mungkin selepas ini, Ina akan bekerja keras untuk mencapai sasaran Hijazz Records itu,” janji Ina yang bakal muncul dalam sebuah konsert yang akan menampilkan artis naungan Hijazz Records Sdn Bhd tidak lama lagi.


No comments: