Linda Tidak Gusar

SEPANG: Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam, penyampai radio Era, Linda Onn, yang dikerumuni puluhan wakil media dengan tegas mengatakan dia rela dikenakan sebarang tindakan demi mempertahankan prinsip, maruah dan harga diri.


Ketibaan Linda dinantikan media yang ingin mendapatkan reaksinya berhubung ‘kehilangannya’ pada acara Red Carpet Anugerah Academi ke-49 di Kodak Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat, 26 Februari lalu.


Photobucket - Video and Image Hosting

Sejak itu, pelbagai spekulasi timbul, termasuk dakwaan dia tidak mampu menjalankan tugas pada acara berprestij itu.

Bagaimanapun, Linda segera menafikan dakwaan itu, sebaliknya menyalahkan pakaian yang diberikan kepadanya sebagai punca ketiadaannya pada acara itu.

Mengikut perancangan awal, Linda sepatutnya menggayakan busana rekaan Jovian Mandagie tetapi ditukar pada saat akhir apabila dia diminta menyarung pakaian rekaan Radzwan Radziwill.

“Saya dapati baju kebaya yang disediakan Radzwan jarang dan menggunakan kain renda seakan-akan warna kulit. Selepas cuba memakainya, saya tidak selesa terutama korset pada bahagian atas tubuh saya.



“Dengan rekaan yang jarang pada bahagian dada itu, ia kelihatan seksi. Ia bercanggah dengan prinsip saya selama ini. Oleh itu, demi menjaga maruah dan harga diri, saya lebih rela tidak muncul di permaidani merah itu.

“Saya tahu apa yang saya buat. Saya ada prinsip dan tidak mudah diperkotak-katikkan. Selama ini pun tiada siapa peduli apa yang saya pakai, kenapa tiba-tiba kini ia menjadi isu pula,” katanya yang disambut ibu bapanya, Onn Chik, 72, dan Saadiah Ismail, 65, serta rakan karib, Fahrin Ahmad.

Selama berada di LA, kata Linda, dia mengikuti perkembangan spekulasi mengenai ‘kehilangannya’ menerusi internet.

Pengacara tinggi lampai itu sepatutnya berpasangan dengan VJ Channel V, Domonic Lau (Dom) mewawancara artis terkenal Hollywood bagi segmen `Red Carpet With Dom & Linda,’ terbitan Star Movies, untuk siaran di saluran 42 Astro, jam 8 malam.

Dia bagaimanapun, tidak kelihatan pada segmen berkenaan, menyebabkan Dom terpaksa melakukan tugasan itu bersendirian.

Menurut Linda, walaupun berada di pihak benar, dia tidak mampu menutup mulut orang untuk terus memperkatakan pelbagai perkara mengenai dirinya.

Linda juga mengakui yang tugasan itu bukan mudah.

“Tetapi mereka silap jika ada yang menuduh saya tidak bersedia untuk melaksanakan tugasan itu. Jika saya tidak bersedia, tidak perlulah saya terbang ke sana dengan menempuh penerbangan lebih 20 jam.



“Lebih bagus kalau saya beritahu awal-awal kepada Star Movies yang saya tidak mampu memikul tanggungjawab itu,” katanya turut menafikan yang dia tidak menjalani latihan seperti mana ditetapkan Star Movies.

Sebenarnya, kata Linda, tiada masalah latihan, termasuk tuduhan yang mengatakan dia inginkan layanan kelas pertama ketika berada di sana.

Katanya, sudah lebih 10 tahun dia menjadi penyampai radio dan biasa mengendalikan pelbagai acara dalam negara.

“Untuk apa saja acara, saya perlu berlatih. Begitu juga untuk segmen permaidani merah Anugerah Akademi.

“Kononnya saya juga dituduh berlagak diva dan suka mengarahkan kakitangan Star Movies, sedangkan hakikatnya, semua perkara saya dan Intan (kakak) melakukannya sendiri tanpa menyusahkan penganjur.

“Kalau benar saya minta layanan kelas pertama kenapa saya tidak membantah apabila mereka memberikan saya penerbangan kelas ekonomi. Bagi saya itu semua bukan penyebab kehilangan saya di segmen itu.

“Apa yang berlaku pengajaran cukup berguna buat saya. Selepas 10 tahun menjadi penyampai radio, inilah pengalaman yang paling bermakna dalam sejarah hidup saya.

“Walau apa pun saya gembira dengan apa yang saya buat kerana saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Bersekutu Serantau Asia, Nini Yusof, ketika diminta mengulas perkara sama, berkata jika Linda tidak mahu memberikan kerjasama, Star Movies tidak boleh buat apa-apa.

“Kami sedaya upaya menyediakan segala keperluan untuknya. Tetapi dia enggan bekerjasama, jadi apa yang boleh kami buat.

“Bagaimanapun penganjur tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi. Bagi saya perkara itu sudah pun berakhir dan segmen permaidani merah yang disiarkan menerusi saluran 42 (Astro) pun dapat dipaparkan dengan jayanya.

“Dom berjaya melaksanakan tugasannya dengan baik,” katanya.





No comments: