Zamani Slam Didenda RM5,500

AMPANG - Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas membuat kejutan menukar pengakuan bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah pada Januari lalu.

 photo Zamani Slam Bebas Dadah_zpsk02sqgld.jpg
Muka depan Kosmo! 07-05-2015


Bagi kesalahan memiliki dadah, Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 44, dihukum denda sebanyak RM3,300 atau 10 bulan penjara manakala bagi kesalahan menagih dadah, dia didenda RM2,200 atau lapan bulan penjara.

Turut menerima hukuman sama ialah pembantu peribadi penyanyi itu, Nur Juliana Abdul Rani, 32.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan rayuan Zamani dan Nur Juliana yang dibuat menerusi peguam bela mereka, Ahmad Zaharil Musaiyar. 

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani pengawasan selama 2 tahun di bawah pemantauan Agensi Dadah Kebangsaan. 

Dalam rayuan untuk meringankan hukuman itu, Ahmad Zaharil berkata, tindakan Zamani menukar pengakuan telah menjimatkan kos dan masa mahkamah selain kesungguhannya merawat ketagihan di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur sejak 24 Januari lalu. 

Menurutnya, tahap kesihatan Zamani yang mengalami sakit tulang belakang tidak mengizinkannya untuk menjalani hukuman berat seperti penjara kerana dia memerlukan rawatan rapi. 

Beliau memohon mahkamah mengenakan hukuman denda atas alasan penyanyi yang terkenal dengan lagu Gerimis Mengundang itu telah insaf dan berat badannya kini naik kepada 59kg daripada 45kg. 

Abang Zamani, Zulfazil Ibrahim membayar denda tersebut bagi pihak penyanyi itu manakala denda Nur Juliana dibayar oleh ibunya, Rozanna Noor. 

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana ditangkap 21 Januari lepas. Ia menjadi titik penting kepada perubahan yang saya alami sekarang."

"Insya-Allah  saya akan kembali menyanyi bersama pengurusan baharu jika sudah pulih (selesai dirawat)," ujar Zamani kepada pemberita di pekarangan mahkamah.

Kronologi Kes Dadah Zamani Slam 
 photo Kes Dadah Zamani Slam - Kronologi_zpsdeshntgi.jpg


Sumber : Kosmo! Edisi 07-05-2015 bersamaan 18 Rejab 1436H 



No comments: