Bayi Eja Didera Amah


KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa artis jelita, Siti Shahrizah Saifuddin, 37, atau Eja, apabila dia bukan hanya dibekalkan pembantu rumah sewel yang gemar mencederakan diri sendiri, malah bayinya yang baru berusia enam bulan turut dicederakan amah terbabit.

Eja & Nur Eishal

Lebih mengharukan, pembantu rumah warga Indonesia terbabit didakwa sering berkelakuan aneh apabila gemar menoreh perabot dan perkakas dalam rumah artis itu menggunakan pisau dipercayai akibat masalah jiwa kronik yang dihadapinya.

Eja berkata, tindakan wanita Indonesia terbabit merosakkan harta bendanya sebelum melarikan diri menyebabkan dia kerugian hampir RM50,000.

Menurutnya, dia memperoleh khidmat pembantu rumah terbabit daripada sebuah agensi pekerja asing selepas menjelaskan bayaran RM6,200.

“Tujuan saya mengambil pembantu rumah terbabit tiga bulan lalu untuk membantu saya menguruskan rumah selain menjaga bayi kami ketika ketiadaan saya dan suami atas urusan kerja.

“Ketika mengambil dia daripada agensi, pelbagai janji ditaburkan kononnya amah yang dibekalkan itu berpengalaman dan mempunyai kemahiran tinggi untuk menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui, semalam.



Menurutnya, dia tidak hanya membayar RM6,200 yang disyaratkan pihak agensi, malah turut membayar gaji pendahuluan pembantu rumah itu yang dihantar pulang ke kampung halaman amah berkenaan di Sumatera, Indonesia.

“Rasa curiga mula terdetik di hati saya apabila wanita itu meminta saya memanggilnya sebagai Susie walhal pasport milik amah berkenaan mencatatkan nama Mona.

“Walaupun umur tertera pada pasport terbabit menunjukkan usianya 29 tahun, namun saya yakin maklumat terbabit tidak tepat berikutan raut wajahnya yang terlalu muda,” katanya.

Menurutnya, pembantu rumah terbabit yang berasal dari Medan, turut menimbulkan banyak tanda tanya apabila muka dan tubuhnya dipenuhi calar-balar seperti kesan cakar dan torehan pisau.

“Bila saya bertanya untuk mendapatkan kepastian, dia hanya memberi alasan kononnya ia berpunca akibat kemalangan motosikal.

“Bagaimanapun, saya mula resah apabila pelbagai kejadian misteri mula berlaku satu persatu apabila saya menemui puluhan kesan torehan pisau pada meja makan, kabinet dapur dan peti ais,” katanya.



Amah terbabit yang disoal Eja bagaimanapun berpura-pura tidak tahu menahu punca kerosakan perabot itu.

“Pernah sampai satu peringkat, dia sanggup menjunjung al-Quran dan bersumpah tidak merosakkan perabot itu, bagaimanapun saya tambah pelik apabila satu persatu peralatan elektrik rosak tanpa sebab.

“Malah, pinggan mangkuk mahal hadiah ibu mentua saya turut pecah satu persatu. Lebih membimbangkan saya apabila bayi kami, Nur Eishal, enam bulan, pernah berdarah pada bibir dan luka di tangan tanpa diketahui punca,” katanya.

Eja berkata, selepas tiga bulan bekerja di rumahnya, amah terbabit akhirnya lesap begitu saja apabila dia melarikan diri dengan membawa beg plastik berisi pakaian, dua minggu lalu.

“Saya langsung tidak sedar bila Susie melarikan diri, namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibatnya keluar melalui pintu rumah.

“Sebelum meninggalkan rumah, dia sempat merosakkan beberapa lagi perkakas rumah termasuk menoreh perabot menggunakan pisau,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kehilangan pembantu rumahnya.

Menurut Eja, walaupun pelbagai dugaan dialami sepanjang tinggal bersama amahnya itu, dia tidak pernah memaki-hamun atau meninggi suara jauh sekali untuk memukul wanita berkenaan. “Dari apa yang saya tahu, Susie bukan wanita normal sebaliknya mempunyai penyakit psikologi serius. Dia mempunyai masalah jiwa dan tidak boleh melihat objek atau barang yang cantik atau sempurna.


“Jiwanya yang kacau menyebabkan Susie tidak teragak-agak merosakkan perkakas rumah bagi memuaskan hatinya. Namun, saya amat bernasib baik kerana bayi kami terselamat daripada amukannya,” katanya.

Eja berkata, kebiasaannya majikan di negara ini tertakluk kepada perjanjian mengenai tempoh percubaan selama tiga hingga empat bulan bagi pembantu rumah yang diambil bekerja.

“Bagaimanapun, menjadi trend apabila pembantu rumah terbabit akan melarikan diri sebaik tempoh berkenaan tamat. Yang jelas kerjaya pembantu rumah itu hanya dijadikan ‘batu loncatan’ untuk memasuki negara ini sebelum mereka lesap begitu saja.

“Akibatnya, kami yang mengambil pembantu rumah asing ini teraniaya dan wang ribuan ringgit yang dibayar sebelum ini hangus begitu saja,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima sebelum ini, ramai pembantu rumah yang melarikan diri lebih gemar bekerja sebagai tukang cuci bangunan atau pembantu kedai.

Difahamkan, susulan kejadian itu, Eja membuat dua laporan kepada polis iaitu pertama pada 18 Februari lalu di Balai Polis Mont Kiara dan kali kedua pada jam 11 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat pelakon berkenaan dan pihaknya sedang berusaha mengesan pembantu rumah terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menyalurkannya ke talian 03-2274 0222 atau Rakan Cop 03-2115999.


 

No comments: