Bikini - Maria Farida, "Tidak! Tidak! Tidak!"





MELIHAT raut wajah dan tubuhnya yang umpama anak dara, sukar mempercayai usia sebenar aktres jelita, Maria Farida.

Namun, apa yang pasti wanita tabah ini mengakui sudah puas hidup glamor kerana menceburi industri seni ketika usia masih belasan tahun.

Siapa sangka, dalam usia 16 tahun Maria sudah aktif di pentas peragaan dan lakonan.

Namun, bagi ibu kepada Mizan Ashley, 12, pengalaman ini cukup mematangkan dirinya.

Justeru, pada usia sekarang Maria cukup tegas dengan prinsip hidup yang dipegang.

Tidak lagi mengikut gelora hati atau mengejar populariti, ibu tunggal ini sesekali enggan menerima lamaran babak yang boleh menggugat maruahnya.

Kata Maria, apapun dia tidak menduga masih ada lagi produksi berminat memintanya berbikini.

Photobucket







"Dalam soal ini (berbikini), saya tidak boleh bertolak ansur. Ini kerana, bagi saya sekarang bukan masa lagi untuk melakonkan babak seperti itu. Saya sudah berusia dan mempunyai anak, jadi apa-apapun perasaan anak menjadi persoalan utama.

"Jika saya terima tawaran itu, bagaimana dengan perasaan Mizan. Saya yakin dia pasti kecewa terutama apabila berhadapan dengan rakan di sekolah. Pasti rakannya akan bertanya kerana kemunculan saya di sekolahnya pun menjadi bualan.

"Oleh itu, saya menolak peranan berkenaan. Masa saya untuk lakukannya sudah berlalu. Bayangkanlah, dari usia 16 tahun takkan sampai sekarang saya harus berbikini untuk glamor. Itu tidak masuk akal dan memang wajar saya buat keputusan ini," katanya.

Mengenai kehidupannya yang masih 'solo' tanpa suami di sisi selama 10 tahun, wanita kacukan Melayu Filipina ini mengakui dia lebih selesa memilih jalan sekarang kerana serik dengan pengalaman lalu.

Katanya apapun, jodoh tidak boleh dijangka.

"Saya tidak mengatakan takkan berkahwin buat selama-lamanya, tetapi kalau ada jodoh biarlah dengan lelaki yang tiada komitmen keluarga. Dalam erti kata lain, sudah beristeri. Terus-terang, saya tidak mahu terjebak dengan kehidupan berpoligami.

"Namun, saya juga tidak memilih lelaki kaya sebagai calon suami. Bagi saya, cukuplah lelaki itu mampu menyenangkan diri ini dan menerima anak saya seadanya. Saya tidak memandang pangkat, tetapi biarlah lelaki itu benar-benar berkemampuan.





"Dia boleh menanggung keluarga dan tidak menyusahkan hidup saya. Bukan itu saja, saya juga sebenarnya hairan apabila tersebar gosip liar di Internet mengenai hubungan cinta. Saya dikaitkan bercinta dengan orang kenamaan bergelar Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.

"Realitinya, saya sendiri pun tidak mengenali individu itu. Malah, setahu saya rutin harian ialah ke set penggambaran untuk berlakon dan selepas itu balik ke rumah bersama anak. Saya bukan jenis wanita bersosial yang suka berhibur di kelab malam," katanya.

Menurut Maria lagi, masa lapangnya memang dihabiskan bersama anaknya.

Katanya hubungan dia dan anak sangat rapat dan disebabkan itu, jika ada lelaki mahu bercinta dengannya harus juga menerima Mizan.

Bagi Maria, perasaan anaknya sangat penting.




Mengenai statusnya, Maria mengakui dia sedar masyarakat sering memandang serong pada wanita yang bergelar janda.

Katanya, kalau dinilai teliti, tiada wanita di dunia ini mahu hidup menjanda dan semua itu adalah urusan Tuhan dengan jodoh ditentukan-Nya.

"Pada saya tidak semua janda itu hina dan berperangai buruk. Kadangkala, masyarakat harus melihat situasi kehidupan mereka lebih dulu sebelum menjatuhkan hukuman. Justeru, saya lebih senang dengan sikap tidak menjaga tepi kain orang.

"Di lokasi, saya suka buat hal sendiri. Bagi saya, mendapat tawaran berlakon itu sudah besar rahmatnya kerana ia sumber pendapatan untuk menyara keluarga. Bahkan, dari satu sudut saya bersyukur dengan rezeki diberikan Tuhan sehingga kini," katanya.

Tenang berbicara, Maria berkata apa yang penting padanya keluarga mengetahui hal sebenar.

Dalam soal ini, katanya, dia sangat mengharapkan kepercayaan keluarga. Akuinya dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat asalkan keluarga memahami.






Profil

NAMA: Maria Faridah Atienza

PANGGILAN KOMERSIAL: Maria Farida

ASAL: Kuala Lumpur

UMUR: Rahsia

KELUARGA: Kacukan Melayu-Filipina

STATUS: Ibu tunggal






ANAK: Mizan Ashley, 12

KARIER: Pelakon, model iklan

FILEM: Antaranya Queen Control, Hanny, Femina, Bisikan Cinta, Jalang, My Spy dan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys & Datin Ghaira

DRAMA: Antaranya Astana Idaman, Satu Hati Dua Jiwa, Cinta Sempurna, Mega Sekeping Hati, Biru Cinta Laguna, Hanya Satu, Sutera Maya, Realiti, Keliwon dan Jangan Tegur Lagi




No comments: