Material - Album Melayu Baru Yuna 2015

Satu realiti yang harus diakui, tidak ramai dalam kalangan artis di negara ini yang berjaya mencipta nama di luar negara, lebih-lebih lagi di negara Amerika Syarikat (AS) yang cukup terkenal dengan perkembangan pelbagai genre muzik sejagat.

Namun, jika disebut sebaris nama wanita muda ini, pasti semua masyarakat di Malaysia mengetahui tentang kejayaan Yunalis Zarai atau Yuna yang berjaya menempa nama di negara orang hanya setahun selepas berjaya menjadi artis muda popular di tanah air sendiri.


 photo Album Melayu Yuna 2015_zpseucxlgck.jpg

Demi peminat, Yuna muncul dengan buah tangan baru berjudul Material yang selamat dilancarkan pada satu majlis di Coffee Planet, Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Material

Mengandungi 7 buah lagu gabungan daripada beberapa buah lagu lama dan baru, album Melayu pertama daripada Yuna itu menyelitkan beberapa buah lagu hit iaitu Lelaki dan Dan Sebenarnya. Dan Sebenarnya adalah lagu pengenalan Yuna dalam lapangan hiburan tempatan telah dirakam semula dengan susunan muzik yang lebih segar dan trendy.

Mengulas lanjut mengenai Material, Yuna, 28, berkata, selepas 2 tahun tidak tampil dengan album, kini sudah tiba masanya dia memberikan hadiah atau material terbaharu buat peminat di Malaysia.

"Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini sebenarnya sudah lama berada dalam simpanan saya dan AG Coco. Jadi, album ini merupakan projek spontan yang dilakukan oleh kami."

"Sebelum ini saya sangat sibuk dengan kerjaya dan terpaksa berulang-alik antara AS dan Malaysia. Secara tidak langsung perkara itu menimbulkan perasaan serba salah dalam diri saya kerana sudah lama tidak muncul dengan material baru buat peminat di sini."

"Walaupun banyak menghasilkan single, namun satu perkara yang saya sedar, semua single ini tiada 'rumah' untuk disimpan. Disebabkan tahun ini jadual sedikit longgar dan ada sedikit masa terluang itu untuk menghasilkan album," jelasnya panjang lebar.

Album itu juga mengandungi lagu baharu daripada Yuna iaitu Material. Bicara Yuna jujur, hayat lagu itu sebenarnya sudah 2 tahun. Namun, baru kini dia berkesempatan membawa lagu itu keluar daripada poket simpanannya. 

 photo Jodoh Yuna 28_zps2oorps0n.jpg

Persepsi

Ditebak mengenai isi kandungan lagu Material yang menyentuh tentang sikap riak seseorang menerusi media sosial dilihat mampu mengundang perspektif negatif pada dirinya sebagai penggubah lagu sama seperti single Lelaki, Yuna hanya tersenyum manis.




Baginya, selama dia berkarya, lirik dan lagu yang dihasilkan tidak pernah mempunyai kaitan dengan isu menyindir atau memperlekehkan mana-mana individu. Sebaliknya, ia hanyalah cara dia meluahkan isi hati atau pandangan di sekeliling dalam sesebuah lagu.

Album Inggeris 

"Insya-Allah, segalanya akan berjalan mengikut perancangan. September depan, album Inggeris ketiga saya bakal dilancarkan. Istimewanya, album kali ini mendapat sentuhan pelbagai genre antaranya R&B, hip hop dan rap. 

"Satu kejutan untuk dikongsikan, dalam album itu terdapat sebuah lagu hasil kerjasama antara saya dengan seorang penyanyi ternama Hollywood."

"Lagu tersebut sudah siap dirakamkan. Identiti penyanyi Hollywood itu, saya terpaksa rahsiakan dulu. Nanti kalau umumkan awal-awal, tak seronok," seloroh Yuna sambil ketawa kecil. 

Trivia Yuna
  •   Yuna mula mendapat perhatian dalam industri hiburan tempatan apabila menjadi satu-satunya penyanyi muda wanita tampil dengan gaya fesyen tersendiri - bergerak secara indie, bertudung dan mampu bermain gitar dengan baik. Itu adalah antara kekuatan personaliti yang dimiliki Yuna pada awal kemunculannya pada 2008. 
  • Yuna sudah menghasilkan dua buah album Inggeris di AS iaitu Nocturnal (2013) dan Decorate (2010).
  • Mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang muzik, tetapi Yuna adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari UiTM Shah Alam, Selangor.


Sumber : Kosmo! Edisi 07-05-2015 bersamaan 18 Rejab 1436H



No comments: