Isteri Ke 4 Salih Yaacob Berusia 24 Tahun

KUALA LUMPUR : "Abang comel, saya paling suka hidung dia yang mancung kerana itu juga antara kriteria lelaki idaman saya," kata bakal isteri keempat pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Salih Yaacob yang hanya mahu dikenali sebagai Emi, 24.

Gadis manis dari Johor itu bakal disunting Salih, 50, sebagai suri hidupnya, sekali gus melengkapkan kuota poligami Salih yang sudah diamalkannya sejak puluhan tahun dulu.

Majlis perkahwinan pasangan berkenaan djangka berlangsung selepas Aidilfitri ini berikutan kesibukan Salih mengurus kerjayanya ketika ini selain mahu meyelesaikan beberapa urusan mahkamah berkaitan urusan kebenaran berpoligami.


Photobucket


Emi berkata, walaupun hidung Salih menjadi antara tarikan padanya, namun dia tidak menetapkan kelebihan fizikal sebagai teras utama memilih suami, sebaliknya keikhlasan dan sifat dalaman seseorang lelaki yang sentiasa diberi keutamaan dalam melayari bahtera rumah tangga.

"Rupa paras perkara kedua bagi saya, lebih penting sifat dalaman yang ada pada diri bakal suami dan saya nampak ciri-ciri itu ada pada abang, malah dia banyak mengajar dan membentuk saya menjadi insan baik dalam mendepani perjalanan hidup.

"Saya sukakan dia yang sangat menitik berat ajaran agama, cara dia membimbing 11 anak dan tiga isteri, sebab saya terfikir macam mana dia boleh mengurus keluarga besar dengan masing-masing hidup aman damai, dia ceritakan semuanya dan dari situ saya lebih tertarik.


Photobucket

Emi baru berusia 24 tahun bakal menjadi isteri ke-4 Salih Yaacob

Faktor itu yang membuat saya mahu tahu lebih mendalam lagi. Saya akui perkara itu membuatkan abang berbeza daripada lelaki lain. Kalau lelaki lain mulut saja manis, tapi kosong, abang tidak begitu, dia ada isi," katanya ketika ditemui di set pengambaran 'Salih Yaacob...I Follow' di sini semalam.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Emi memberitahu pada awalnya dia tidak berminat untuk mengenali Salih secara rapat memandangkan pertemuan mereka bermula atas dasar antara peminat dengan artis di satu pementasan di Pulau Pangkor, Perak pada November tahun lalu.

"Ketika itu saya tidak rasa apa-apa, cuma mahu bergambar dengannya saja apatah lagi semua orang tahu abang sudah berkeluarga dan mengamalkan poligami.

Bermula daripada keinginan untuk tahu bagaimana dia mengurus isteri-isterinya membuatkan hubungan kami rapat dan saling berbalas SMS dan panggilan telefon. Abang pandai mengambil hati dan layanannya membuatkan saya terpaut," katanya.

Penuntut sarjana bidang pengakutan disebuah institusi pengajian tinggi di ibu negara itu turut mengakui bukan mudah untuk dia meyakinkan keluarganya bagi menerima Salih memandangkan poligami tidak dijadikan amalan dalam keluarga termasuk di kalangan sanak saudara.

Katanya selepas bulan keempat perkenalannya dengan Salih, baru dia memberanikan diri untuk berterus terang di hadapan ahli keluarga dan kakak sulung menjadi orang pertama diberitahunya sebelum kakaknya berjumpa sendiri dengan Salih.

"Sebelum itu saya kerap solat hajat, istiqarah memohon petunjuk dan akhirnya selepas dijelaskan mengapa saya memilih abang, ibu dan ayah menerimanya. Malah, ibu sempat berpesan supaya saya menjaga diri sebab tahu perkara ini bukan mudah.

Apapun saya masih belajar mendalami ilmu terutamna aspek rumah tangga dan 'bekalan' yang diberi abang akan saya pegang dan amalkan serta paling penting menjadi al-Quran sebagai teras membentuk perjalanan hidup ini.

Saya juga sudah bersedia menempuh alam rumah tangga bersama dia dan isteri serta anak-anak, Insya-Allah," katanya yang kini menjadi pembantu peribadi Salih.


Photobucket
Salih Yaacob bahagia dengan tiga isterinya.

Sementara itu, Salih berkata, dia tidak mengambil Emi sebagai isteri secara suka-suka, sebaliknya anak bongsu daripada lima beradik itu sudah dititipkan dengan ilmu agama dan rohani yang membolehkannya menjadi isteri taat dan umat Islam sejati.

"Sebelum menyuntingnya saya sudah asuh dia, bimbing dan sediakan dia dengan bekalan yang diperlukan. Kalau tidak dia tak boleh 'follow'. Bukan kerana dia muda atau apa, tapi sebab saya penyampai amanah dan perkahwinan satu ibadat.

Setiap hari saya akan memperingatkan dia, memberi nasihat dan panduan tidak mahu dia tersasar. Alhamdulilah dia seorang yang patuh dan mengenal arah tuju hidup ke jalan Allah. Apapun proses pembelajaran itu tak pernah habis dan ia masih berterusan," katanya.

Ditanya sama ada mereka sudah berkahwin berdasarkan inai di jari Emi, Salih menafikannya sambil Emi memberitahu; "Emi suka pakai inai sebelum kenal abang lagi."

Sumber : Harian Metro Edisi 12-05-2011 bersamaan 8 Jamadilakhir 1432H








No comments: