Fouziah Gous Manis Bertudung


BERGAYA dengan penampilan bertudung, bukan satu masalah buat pelakon jelita Fouziah Gous, 27, kerana sedar wanita Islam diwajibkan menutup aurat dengan bertudung.


Bertudung juga sudah biasa bagi Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd Gous untuk menjiwai watak kerana pernah melakonkan gadis bertudung dalam telefilem Cahaya Lailatul Qadar dan Puisi Buat Anis. Malah sebelum ini pun ketika menjadi model, Fouziah juga banyak memperagakan pakaian Muslimah.


Katanya, waktu itu usianya baru 19 tahun, tetapi belum dikenali ramai seperti hari ini. Jadi mungkin tiada yang perasaan wajahnya sering terpampang dalam majalah dengan bertudung.


"Setiap kali dipanggil memperaga, mesti untuk fesyen Muslimah dan saya suka kerana ia mendekatkan hati saya kepada kebaikan dan secara tidak langsung saya akan menjaga tingkah laku.


"Bagaimanapun, buat masa ini saya belum bersedia ke arah itu. Tunggulah masa yang sesuai, Insya-Allah saya akan bertudung. Saya mesti benar-benar bersedia kerana saya tidak mahu sekejap pakai, sekejap buka," katanya.

Fouziah Gous



Anak kesayangan pasangan Mohd Gous Gulam Dastagir, 72, dan Sajadi Ibrahim, 54, mengakui jadual hariannya kini sangat padat untuk menjayakan filem dan drama.


Walau dihimpit pelbagai cerita panas pada awal pembabitannya dalam bidang seni, kini dengan tawaran berlakon silih berganti tiada apa lagi membimbangkan Fouziah kerana sudah terbukti kehadirannya dalam gelanggang yang penuh cabaran ini bukan bergantung kepada cerita sensasi untuk mempopularkan diri.


Katanya, bidang lakonan adalah kerjaya serius sebagaimana pekerjaan lain. Jika tidak bekerja, maknanya tiada gaji dan siapa pula akan menanggung keperluan hidupnya. Lainlah mereka yang menganggap bidang lakonan ini hobi bolehlah buat kerja sambil lewa.


"Bagi saya inilah periuk nasi saya selepas berhenti kerja sebagai pramugari dengan Penerbangan Malaysia (MAS). Oleh itu saya akan laksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dan Alhamdulillah tawaran berlakon tidak pernah putus.


"Ada kala saya pergi kerja pagi dan balik pun pagi. Jarang ada masa bersantai. Penat sangat, tetapi seronok kerana setiap sen yang saya dapat hasil titik peluh sendiri," katanya.


Terbaru Fouziah berlakon sebagai suami isteri bersama Iqram Dinzly dalam filem Rasuk arahan Baldiv Singh dan Ehkzal, terbitan White Merpati. Filem itu kini menjalani penggambaran di Janda Baik, Pahang.


Sebelum itu Fouziah yang sudah lama berkawan rapat dengan Iqram dan pernah dikatakan hubungan mereka dalam kategori 'teman tapi mesra', berlakon sebagai adik dan abang dalam telefilem Catatan Kelmarin serta menjadi kekasih jejaka kelahiran Ipoh, Perak itu dalam telefilem Rembak.


"Pada saya semuanya kebetulan. Apapun tawaran saya terima kerana ia kerja. Watak sebagai Sari Melati dalam Rasuk sangat mencabar. Sudahlah sukar melakonkan watak itu dan macam mana hendak membawa diri sebagai isteri Iqram (Arman).


"Saya mesti menunjukkan perasaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami. Sentuhan yang lemah lembut dan untuk melakukannya kami berdua mesti ada keserasian.


"Oleh itu saya kena tebalkan muka demi watak Sari Melati. Sebagai kawan, kami biasa bergurau dan bercakap kasar, tetapi untuk menghayati watak itu, saya mesti bersikap dan bercakap lemah lembut. Memang kekok pada mulanya, tetapi saya tetap mengambil peluang berlakon dalam Rasuk untuk memantapkan kualiti lakonan dan mempelbagaikan watak.


"Untuk lebih berjaya pada masa depan, saya mesti berani menerima apa saja watak ditawarkan. Waktu rehat di lokasi, saya makan dan menghabiskan banyak masa bersama Iqram untuk membiasakan diri sebagai suami isteri. Selepas puas mencuba dan berusaha, pengarah puas hati dengan lakonan kami," katanya.


Fouziah juga mengakui sangat takut hendak membawakan watak Sari Melati dan untuk menghilangkan rasa gementar dan gemuruhnya, dia banyak berlatih.


"Dalam Rasuk, saya tiada ibu bapa dan hanya menumpang kasih suami. Rasuk bukan cerita hantu biasa yang penonton boleh nampak lembaga menyeramkan di mana-mana. Sebaliknya rasa seram itu wujud dalam diri saya yang dirasuk.


"Watak ini banyak permainan dalaman. Apabila dirasuk, mata saya terbeliak dan jika terkelip satu kali pun, pengarah akan melakukan penggambaran semula. Bayangkan betapa seksanya saya menjadi Sari Melati. Antara ciri utama untuk melakonkan watak itu, pelakon mesti mempunyai mata yang cantik kerana tumpuan utama kepada dua pancaindera itu.


"Baldiv mencari heroin di Internet dan mencari mata yang dapat menghidupkan watak Sari Melati dan akhirnya dia berkenan dengan mata saya. Berlakon dalam filem ini membuatkan bulu roma saya sentiasa meremang kerana lokasi penggambaran filem ini juga agak menyeramkan.


"Saya terasa macam-macam. Memanglah saya belum ternampak apa-apa, tetapi kurang selesa berada lama di sini. Saya tak mahu bercerita lanjut mengenainya kerana saya masih ada di sini. Hendak berulang alik dari rumah tak boleh kerana penggambaran filem ini panjang," katanya.


Mengikut jadual, penggambaran di Janda Baik mengambil masa 15 hari saja, tetapi kerana faktor cuaca, terpaksa berada lebih lama lagi. Inilah cabaran menjadi anak seni.


Kata Fouziah, tidak boleh selamanya ambil watak senang dan penggambaran pula di sekitar Kuala Lumpur. Jika terus begitu, pasti lakonannya tidak akan ke mana.


"Setiap hari muncul wajah baru dalam industri dan saya mesti jadi yang terbaik. Pun begitu saya tidak anggap pesaing baru ini musuh malah kehadiran mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja keras.


"Berlakon dalam Rasuk pengalaman baru yang tidak boleh dilepaskan. Saya perlu meletakkan kerjaya saya setakuk lagi ke hadapan," katanya.


Selesai saja penggambaran Rasuk, Fouziah menjalani penggambaran iklan komersial untuk produk kecantikan yang baru saja melantiknya sebagai duta. Selepas itu dia akan ke lokasi filem barunya, Ratu, arahan Prof Madya A Razak Mohaideen.


Profil


NAMA SEBENAR: Nor Fouziah Mohd Gous


TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982


TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur (HKL)


KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik


TINGGI: 165sm


BERAT: 48kg


STATUS: Bujang


PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic


KERJAYA: Model dan Pelakon


FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip 7707, Maut, Dua Hati Satu Jiwa


DRAMA: Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima


The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2


PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007


No comments: