Zamani Slam Maafkan Polis

AMPANG - Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani, 43, berjiwa murni apabila bertindak memaafkan individu yang merakam dan menyebarkan video nyanyiannya dalam keadaan mengaibkan ketika ditahan polis untuk membantu siasatan kes berkaitan dadah.

Sewaktu pelbagai pihak mengecam perbuatan anggota polis yang meminta Zamani mendendangkan lagu ketika dia dalam keadaan bergari dan duduk di atas lantai, abang penyanyi itu Zulfazil Ibrahim, 50, berkata Zamani enggan memanjangkan isu video berkenaan.

 photo Zamani Slam Maaf Polis_zpsibgmgo4p.jpg

"Saya akui memang sedih sewaktu menerima kiriman video tersebut daripada rakan-rakan. Namun apabila berpeluang bertemu dengan Zamani semalam dan bercerita tentang isu tersebut, Zamani meminta saya untuk tidak memanjangkan perkara itu.

Katanya, dia sudah pun memaafkan mereka yang melakukan perbuatan itu. Malah, dia tidak mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas individu yang bertanggungjawab," ujarnya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya di sini semalam.

Penyanyi yang popular pada tahun 1990an itu ditahan polis dirumahnya di Taman Keramat di sini Rabu lalu sebelum direman selama 4 hari bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah. 

"Zamani kini dalam situasi baik, malah dia sendiri merayu kepada semua peminat agar memberi dia peluang kedua untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa," kata Zulfazil lagi. 

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, pengurus Zamani, Johan Aziz serta peguam yang mewakili Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Aizul Rohan Anuar.   

Sumber : Kosmo! Edisi 24-01-2015 bersamaan 3 Rabiulakhir 1436H 

No comments: