Zamani jadi mangsa buli polis - Klip video bekas vokalis Slam menyanyi dengan tangan bergari jadi viral di internet
Muka depan Kosmo! 23-01-2015
KUALA LUMPUR - Sebuah klip video memaparkan aksi bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani menyanyikan lagu hitsnya Gerimis Mengundang yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial You Tube kini mencetuskan simpati para peminat kumpulan rock itu yang terkenal pada era 1990-an.
Klip berdurasi 1 minit 23 saat itu menunjukkan Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 43, dibuli dan dipaksa menyanyikan lagu tersebut dipercayai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam keadaan duduk bersama tahanan lain dan tangannya digari.
Peminat yang menyaksikan klip tersebut terbuai dalam kenangan lalu apabila Zamani kelihatan mampu mengalunkan lagu tersebut dengan aura suaranya yang lemak merdu sebagaimana pada zaman kegemilangannya dulu.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang menyiasat dan bakal mengenakan tindakan tegas terhadap perakam dan individu yang memuat naik video bekas vokalis Slam, Zamani yang menyanyi dalam keadaan tangan bergari di balai polis.
"PDRM akan siasat dan ambil tindakan tegas terhadap orang yang merakam dan muat naik video Zamani nyanyi semasa bergari," kata Khalid ringkas dalam akaun Twitternya yang dikemas kini tengah hari semalam.
Semasa menyanyi, Zamani kelihatan selamba dengan seorang lagi tahanan duduk di sebelah kanan Zamani.
Pada pertengahan klip video itu, Zamani seolah-olah mahu berhenti menyanyi sebelum tersenyum memandang perakam klip video.
Sejurus sebelum klip video itu berakhir, Zamani dilihat mengangkat tangan sebagai tanda dia mahu menamatkan nyanyian.
Zamani ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini.
Dalam serbuan itu, polis menemui heroin seberat 1.2gram.
Turut ditahan bersama Zamani ialah seorang wanita berusia 32 tahun.
Mahkamah Majistret Ampang membenarkan Zamani dan wanita berkenaan ditahan reman selama 4 hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.
Sumber : Kosmo! Edisi 23-01-2015 bersamaan 2 Rabiulakhir 1436H
No comments:
Post a Comment