Maya Karin & Yusry KRU : Kami Keluar Bersama

HIDUP bergelar selebriti sering menarik perhatian khalayak. Apa jua yang dilakukan sama ada bekerja mahupun meluangkan masa untuk soal peribadi, gerak geri mereka sentiasa menjadi tumpuan.

Bagi artis popular, Maya Karin, kehidupan peribadinya turut diselongkar peminat yang ingin tahu sejauh mana kebenaran kononnya dia kembali dilamun cinta.

Jika sebelum ini Maya dilihat cukup mesra dengan Remy Ishak sejak menjayakan filem Anak Halal arahan Osman Ali tiga tahun lalu, kemesraan mereka juga terserlah apabila digandingkan sebagai pasangan menerusi teater Natrah.

Namun, belum reda kisah ‘cinta’ dengan jejaka kacak itu, Maya kelihatan mesra pula dengan anggota KRU, Yusry Abdul Halim. Ada peminat ternampak mereka berdua menonton wayang bersama.

Apa yang menarik, hubungan mereka dikatakan kembali terjalin selepas masing-masing kembali solo. Sebelum ini, Maya dan Yusry pernah digosipkan ketika sama-sama membintangi filem Mr Cinderella 2, tetapi ketika itu kedua-duanya masih solo, tetapi Yusry berkahwin dengan Erra Fazira pada 2003 manakala Maya bertemu jodoh dengan guru Matematik, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Mohammad Ali pada 2008.


Maya Karin & Yusri KRU

Kemesraan Maya bersama Yusry mula disalah erti peminat.


Tambah menguatkan lagi cerita ini apabila Maya turut hadir pada majlis kesyukuran filem Magika sempena kemenangan besar filem itu di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), di KRU Studios, Cyberjaya, baru-baru ini. Kemesraan mereka berdua ketika berbual mesra menarik perhatian wakil media yang hadir.

Apabila ditanya perkara itu, Maya yang kembali sibuk dengan latihan Natrah musim kedua menafikan ada hubungan istimewa antara mereka sebagaimana disangka ramai.

Katanya, ketika berlakon bersama Remy, ada yang bertanya jika mereka mempunyai hubungan lebih sekadar kawan. Begitu juga, apabila keluar bersama Yusry, peminat membuat tanggapan sama.

“Memang kami keluar bersama, seperti Remy, Yusry juga adalah kawan. Setakat ini saya selesa berkawan dengan mereka. Soal jodoh memang sukar diramal. Apa yang boleh saya katakan, hingga hujung tahun, saya sekadar mahu bersendirian dan menikmati zaman solo.

“Tidak semestinya keluar berdua sudah dianggap bercinta. Walaupun keluar berdua, saya juga masih tahu batas pergaulan. Setakat berjalan ke pusat beli-belah dan menonton wayang bersama, saya tidak anggap ia ‘dating’.

“Buat masa ini, saya perlu masa untuk diri sendiri sambil tenangkan hati. Jika ditanya, saya tidak kisah andai jodoh menemukan saya dengan artis.

“Saya kisah dengan apa orang cakap tapi takkan saya duduk diam di rumah tanpa keluar berhibur dengan rakan-rakan. Namun, saya tetap terima pandangan peminat pada saya,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya, Maya menyatakan latihan teater Natrah baru saja bermula. Katanya, jadualnya kembali sibuk apabila latihan selama tiga minggu pada setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga tengah malam.

“Saya baru mendapat skrip dan berkenalan dengan pelakon yang terbabit dalam pementasan ini. Untuk musim kedua, saya teruja untuk berlakon apatah lagi pengalaman musim pertama lalu suatu yang luar biasa.

“Untuk musim baru, saya berharap ia mampu mencetuskan fenomena sekali lagi. Saya melihat kisah Natrah begitu kuat, penting dan dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu.

“Begitu juga, saya masih sibuk dengan rakaman program Nona. Untuk dua komitmen ini, jadual saya sudah penuh. Pada masa sama, saya juga perlu hadir promosi filem terbaru saya, Cun arahan Osman Ali dan memenuhi sesi fotografi.

“Dalam filem romantik komedi ini, saya memainkan watak Luna Latrisya, gadis bandar dan penyampai TV yang ‘tercampak’ ke kampung dan berkenalan dengan jejaka lakonan Remy.

“Pada saya, Remy sangat berbakat dalam lakonan dan selesa bekerjasama dengannya. Saya juga terbabit dalam satu lagi filem baru bersama Osman berjudul Ombak Rindu.

“Dalam genre drama ini, saya memainkan watak gadis kampung dan bergandingan bersama Aaron Aziz. Bagi saya, pengalaman tiga filem bersama Osman sangat berbaloi dan setiap filem mempunyai keistimewaan serta tarikan berbeza,” katanya.

Untuk program Nona, Maya akui karier pengacaranya itu akan berakhir pada hujung tahun ini. Selama setahun mengacara program popular itu untuk 52 episod, dia bersedia melepaskan tanggungjawab itu kepada pengacara lain.

“Pengalaman yang ditimba memang menarik dan memenatkan. Sepanjang setahun ini, saya sudah berikan yang terbaik walaupun dikritik.

“Lakonan masih menjadi keutamaan dan saya juga akan memberi tumpuan pada nyanyian apabila album baru akan muncul di pasaran tahun depan,” katanya.

Komen Yusri

Bagi Yusry, dia terbuka berkongsi kisah peribadi bersama peminat. Tanpa berselindung di sebalik hubungan persahabatan yang terjalin, dia berterus terang menceritakan perkara sebenar.

Pada Aidilfitri lalu, Yusry digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan anak gadis penyanyi Rohana Jalil, Shaqila. Kelibat Yusry menangkap perhatian media, tetapi akuinya, mereka bukanlah seperti yang disangka.

“Ketika itu saya hadir rumah terbukanya. Sebenarnya, ramai kru filem Karak yang lain hadir pada masa itu dan tidak timbul soal kami bercinta.

“Shaqila pernah berlakon dalam Karak yang turut dibintangi juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir selain Along Cham dan Shera Aiyob.

“Apapun cakap orang, saya tidak berkecil hati. Begitu juga, ketika saya keluar bersama Maya, kami jarang bercakap soal peribadi. Atas dasar kawan, kami tiada masalah keluar berdua depan khalayak. Kami sudah kenal lama sejak membintangi Mr Cinderella 2 (2003) dan mula rapat kembali selepas dia hidup solo.

“Saya rasakan tidak salah kami keluar berdua, tetapi tidaklah sampai berpegang tangan. Saya tidak takut dengan tekanan dan gosip yang dilemparkan.

“Dulu pun bermacam tohmahan saya terima termasuk dikatakan gay. Secara peribadi, saya senang untuk bersembang dengan Maya. Kami banyak bercerita soal kerja dan saya sendiri tidak kenal rapat dengannya. Sepanjang tiga kali bekerjasama termasuk Duyung dan Magika, saya melihat Maya mempunyai komitmen kerja yang tinggi.

“Dulu ada yang berkata dia tidak boleh berlakon, tetapi dia tidak putus asa mengasah bakat. Hingga kini, saya masih selesa hidup sendiri. Hidup saya sebenarnya lebih teratur dan saya juga mempunyai masa untuk riadah dan bersama keluarga,” katanya.

Yusry kini berada di Los Angeles mempromosi filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) sempena America Film Market. Katanya, dia masih sibuk dan memberi fokus pada kerja.

Pengarah Cicak-Man itu juga tidak mahu membuat jangkaan awal pada kutipan dan sambutan HMM yang dijangka ditayangkan tahun depan. Sebaliknya, dia menyatakan mahu kepuasan dalam berkarya dan menjadi produk kebanggaan negara di pasaran antarabangsa.

Profil

NAMA: Maya Karin Roelcke

TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979

USIA: 31 tahun

ASAL: Bayreuth, Bavaria, Jerman

KERJAYA: Pelakon, penyanyi, model, pengacara

FILEM: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau Cukur dan Magika.

Album: Erti Cinta dan Bukan Qalamaya

Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005; Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.

Profil

NAMA: Yusry Abdul Halim

TARIKH LAHIR: 15 Jun 1973

USIA: 37 Tahun

ASAL: Kuala Lumpur

KARIER: Penyanyi, pelakon dan pengarah

FILEM ARAHAN: Cicak-Man, Cicak-Man 2: Planet Hitam dan Merong Mahawangsa.

LAKONAN: Awas (1995), Cinta Metropolitan (1996), Gerak Khas The Movie 2 dan Mr Cinderella (2002), Cinta Kolestrol dan Mr Cinderella 2 (2003), Kuliah Cinta dan Hingga Hujung Nyawa (2004), Lady Boss (2005), Cicakman (2006), Cicakman 2: Planet Hitam (2008) dan Rasukan Ablasa (2009).

ALBUM: Canggih (1992), Rekrued (1993), Awas (1994), Awas Da Soundtrack (1995), Oh La La dan Krumania (1997), The Way We Jam (1998), Formula Luar Biasa (1999), Tyco (2000), Empayar Krujaan (2002), Yusry (2003), Krunisme (2005) dan Di Skala Richter (2006).





No comments: