Saiful Apek - Azab Tidur Lokap

SETELAH dikenakan denda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana didapati bersalah memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan, Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff, 45, atau lebih mesra disapa Saiful Apek kini kelihatan bahagia dengan kehidupannya sekarang. 

Perasaan lega terpancar pada wajah pelawak dan pelakon yang pernah menjadi hero bagi filem Cicakman itu apabila tempoh perbicaraan yang memakan masa empat tahun itu berakhir pada 25 April lalu. 

Bagi lelaki ini, walaupun tempoh perbicaraan itu berakhir dengan menyaksikan dia dan tiga lagi rakannya didapati bersalah, namun kata Apek, apa yang berlaku akan menjadi satu pengajaran buat dirinya supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan. 

Bertemu Apek pada sesi rakaman program raya di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelantun lagu Aspalela itu tidak kekok apabila diminta untuk ditemu ramah pihak media. 

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon dan pelawak yang pernah menjadi salah seorang anggota kumpulan senario yang gah pada tahun 90-an itu. 

 Kosmo!: Selepas lebih empat tahun, akhirnya kes Apek selesai baru-baru ini dengan menyaksikan anda dan tiga rakan lain didapati bersalah. Apakah pengajaran yang dapat anda simpulkan? 

 photo saifulapek_zps7ff949cd.jpg

SAIFUL APEK: Mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati dengan kehidupan. Saya juga tidak akan mudah mempercayai seseorang, walaupun dia teman rapat saya. Bagaimanapun saya reda dengan apa yang menimpa saya selama ini. Walaupun pahit, kehidupan mesti diteruskan. 

 Boleh ceritakan pengalaman anda sepanjang prosiding kes berlangsung? 

Ia merupakan sejarah hitam dalam hidup saya. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang empat tahun perbicaraan kes tersebut ialah tidur di dalam lokap dan tidak dibenarkan berjumpa dengan isteri dan anak-anak saya. Pada masa itu, perasaan sedih saya tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. 

Bagaimanakah penerimaan keluarga anda? 

Alhamdulillah, mereka merupakan insan yang paling rapat dengan saya. Mereka juga tidak pernah berputus asa dalam memberikan motivasi dan kata-kata semangat kepada saya. Saya juga sangat bersyukur, walaupun setelah apa yang terjadi kepada saya, anak-anak saya dilihat tidak mendapat kesan daripada peristiwa tersebut dan hubungan dengan dua orang anak saya. 

Adakah rakan anda menjauhi diri mereka daripada anda setelah mereka mendapat tahu anda terlibat dengan kes dadah? 

Saya mengakui memang ada beberapa rakan yang menjauhi diri mereka daripada saya. Mereka mempunyai alasan mereka sendiri, terpulanglah kepada mereka. Biarlah rakan baik dan keluarga terdekat sahaja yang memahami saya. 

Adakah kes tersebut menyebabkan tawaran lakonan dan pengacaraan anda telah berkurangan? 

Tidak sama sekali, saya tidak pernah mendapat kesan daripada kes tersebut. Alhamdulillah, tawaran lakonan dan pengacaraan tidak pernah putus-putus diterima. Saya sangat berterima kasih kepada masyarakat kerana masih memberi peluang dan sokongan moral kepada saya. 

Apakah perkembangan terbaharu anda? 

Kini saya dan pihak produksi saya, Gitu-Gitu Production sedang dalam perancangan menyiapkan draf pertama untuk filem bergenre adi wira iaitu Kucingman. filem tersebut masih lagi dalam perancangan awal dan Insya-Allah, kalau tiada aral melintang filem tersebut akan memulakan penggambaran bermula September ini.