Ezlynn Kahwin 11-11-11

PUAS dipujuk, dia tetap berkeras dengan pendiriannya. Utuh. Ezlynn masih tidak mahu mendedahkan siapa calon suami yang bakal dikahwini tahun hadapan.


Photobucket

“Calon suami saya, biarlah saya rahsiakan dulu, belum waktunya saya mendedahkan secara terperinci mengenai dirinya,” tutur Ezlynn lembut.

Sebelum ini, Ezlynn pernah mengeluarkan kenyataan mengenai jejaka berusia 30-an yang juga seorang ahli perniagaan adalah ‘teman’ yang cukup rapat dengannya.

Cuma Ezlynn menegaskan, jejaka pilihannya itu bukanlah seorang kenamaan atau yang berharta tetapi cukup sekadar tidak mengongkongnya daripada melakukan aktiviti seni serta tidak cemburu buta. “Selain itu, saya juga inginkan seorang suami yang beriman supaya dapat memimpin diri ini kelak dalam soal agama,” tuturnya.

Dalam pada itu, Ezlynn mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup memandangkan hatinya pernah parah terluka suatu masa dahulu.

“Sememangnya putus cinta sesuatu yang sangat menyedihkan, sebab itu apabila kembali bercinta, saya cukup hati-hati, bimbang saya terluka lagi,” ujarnya

Tatkala berbicara pula mengenai perancangan untuk berkahwin, gadis bersuara serak-serak basah itu bagaimanapun mengesahkan sememangnya benar sama sekali dia ingin menamatkan zaman bujangnya tahun hadapan.

“Saya memang merancang ingin berkahwin apabila umur saya mencapai 30. Saya belum bersedia mendedahkan bakal suami kepada umum. Bila tiba masa akan diberitahu,” kata Ezlynn, 29, ketika ditemui pada majlis pelancaran Peek-A-Boo Restyled Party, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengikut perancangannya, Ezlynn bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan November 2011 setelah membuat perbincangan serius bersama ibunya.

Jika pada tahun ini, ramai yang merancang untuk berkahwin pada ‘tarikh keramat’ 10.10.10, pada tahun depan juga muncul satu tarikh keramat iaitu 11.11.11 dan khabarnya Ezlynn telah memilih tarikh tersebut untuk melangsungkan perkahwinan,

Apabila diajukan soalan mengenai tarikh bertuah 11 November, 2011 yang dipilih ibunya untuk dirinya bergelar isteri, sambil mengukir senyuman di wajah, Ezlynn menyatakan jikalau tiada aral yang melintang pastinya tarikh tersebut dipilih.

“Sememangnya tarikh tersebut agak menarik dan mudah untuk diingat. Ibu pun sudah memilihnya, justeru andai tiada sebarang halangan, insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut,” ungkapnya.





No comments: