Fenomena Caliph Buskers

"Kami menyanyi bukan kerana mahukan sanjungan, jauh sekali demi kemewahan harta-benda, kami hanya mahu menghiburkan hati semua orang, kerana dengan menghiburkan mereka, kami bahagia dan puas. Itulah nikmat yang lebih besar berbanding nikmat melihat," ujar vokalis Caliph Buskers, Khairul Azmi Saat, pada pertemuan sulung dengan penulis.

Luahan daripada Khairul itu langsung tidak dijangka. Tanpa bertentang mata, riak daripada wajah tenang Azmi memancarkan keikhlasan. Sepanjang bicaranya, berkali-kali Azmi memberi penekanan, biarpun nama sudah menjadi sebutan, mereka tetap kembali menyanyi di jalanan.

Caliph Buskers dibarisi oleh 6 individu orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan, Khairul Azmi Saat, 28, (vokalis), Nirwan Zainal Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (dram), Syahzmeen Abdul Rahman, 24, (tamborin), Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris), dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker). Nor Adira bagaimanapun tidak hadir ke sesi fotografi yang dijalankan di Studio Utusan kerana komitmen kerja.

 photo Caliph Buskers_zpszebaet2d.jpg

Kurang seminggu selepas muncul sebagai band pengiring kepada kumpulan Mojo pada Anugerah Juara Lagu (AJL) tempoh hari, gitaris Zaki Ismail memberitahu, perubahan yang sangat ketara melanda mereka usai persembahan malam tersebut.

Lagu Romancinta yang membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada malam berkenaan bagaikan tsunami yang mengubah landskap perjalanan seni Caliph Buskers.


Permulaan Caliph Buskers

Azmi memberitahu, kumpulan tersebut secara rasminya ditubuhkan sekitar Januari tahun 2014. Bagaimanapun perkenalan dengan setiap ahli kumpulan telah terjalin lebih lama daripada usia penubuhan kumpulan tersebut.

"Secara rasminya, Caliph Buskers ditubukan pada Januari tahun lepas, tetapi kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2012 lagi. Ketika itu, sama-sama belajar dalam bidang refleksologi dan urutan dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MBA) di Brickfields,
Kuala Lumpur."

"Selepas menyedari masing-masing mempunyai minat mendalam dalam bidang muzik, kami sering melakukan latihan di studio MBA bersama-sama sehingga masing-masing bersetuju menyanyi di jalanan sebagai buskers."

"Kami lima kompleks beli-belah Sogo menjadi permulaan kepada karier seni kami. Menghiburkan orang ramai dengan lagu yang menjadi permintaan mereka menjadi rutin kami dari pukul 2 sehingga 3 petang setiap hari di sana," kata Azmi.

Turut menghuraikan maksud di sebalik nama Caliph Buskers, gitaris utama kumpulan tersebut, Nirwan memberitahu, Caliph Buskers berasal daripada perkataan Arab yang diambil daripada perkataan 'khalifah'. Khalifah bermaksud seseorang yang mengetuai segerombolan ataupun segelintir kumpulan.

Masa Hadapan

Caliph Buskers kini bukan lagi pemuzik jalanan yang biasa. Bagai memperoleh durian runtuh, fenomena Romancinta' versi Caliph Buskers terus hangat diperkatakan oleh peminat industri hiburan tempatan.

"Kami telah pun berbincang dengan pihak pengurusan KRU Music untuk beberapa projek khas dan merakamkan beberapa buah single. Kami bukan menjadi artis di bawah naungan mereka, jadi kami masih mempunyai kebebasan untuk bermain muzik di jalanan," tegas Azmi.

Ditembak mengenai arah tuju kumpulan berkenaan, Azmi dan rakan seperjuangannya tertawa sebelum memberikan jawapan. Kata Azmi, Caliph Buskers akan terus berkarya selagi ada peminat.

Trivia Caliph Buskers
 photo Trivia Caliph Buskers_zpsutgrhnbp.jpg


Sumber : Kosmo! Edisi 24-01-2015 bersamaan 3 Rabiulakhir 1436H 


No comments: