Awie - Rozana Bukan Suami Isteri?

Rozana Bukan Lagi Isteri Awie 

Dakwa sudah sah bercerai secara taklik daripada Majlis Agama Songkhla

KUALA LUMPUR - Belum selesai perbicaraan kes penjagaan kekal anak dan dakwaan dipukul di mahkamah, Rozana Misbun semalam mendakwa dirinya kini bukan lagi isteri kepada vokalis Wings, artis terkenal Awie. 

Menurut cerita Rozana, dia telah berjaya mendapatkan fasakh secara taklik daripada pejabat Majlis Agama Islam Thailand pada 1 November tahun lalu, sekali gus menggugurkan talak antara dia dan bekas suaminya itu.

 photo Rozana-bukan-isteri-Awie-Wings_zpsdkvaunlm.jpg
Muka depan Kosmo! edisi 04-06-2015

Rozana, 36, berkata, permohonan fasakh itu berjaya diperoleh selepas pihak Majlis Agama Islam Songkhla berpuas hati dengan cerita keterangan serta bukti diberikannya ketika tragedi 2 Jun 2014, selepas dibelasah oleh artis dan penyanyi tersohor Awie atau nama sebenarnya Mohd. Azhar Othman. 

"Saya kini bukan lagi isteri artis terkenal Awie, saya mengeluarkan kenyataan ini kerana tidak mahu dibayangi status sebagai isteri dia (Awie). Permohonan cerai saya telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Songkhla, sekali gus sijil perceraian kami yang sah mengikut undang-undang telah dikeluarkan. Kini, saya mahu fokus terhadap kehidupan saya dan anak-anak. 

"Saya sudah tiada masa untuk berfikir hal yang remeh-temeh. Jadi, saya berharap isu cerai saya dengan Awie telah menemui noktah secara aman dan segera," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Menurut Rozana, permohonan cerai taklik itu dibuat di pejabat agama Islam sama ketika berkahwin dengan Awie pada 20 Jun 2005. 

Dalam pada itu, Rozana turut meminta agar Awie mematuhi arahan mahkamah supaya menyerahkan anak sulung mereka, Putra Ahmad Merrah, 8, yang kini tinggal bersama Awie. 

"Saya berharap agar pihak Awie dapat bertemu dengan peguam saya begi menyelesaikan mana-mana perkara yang perlu," ujarnya yang kini giat mengusahakan perniagaan baju kurung kanak-kanak. 

Sementara itu Kosmo! cuba mendapatkan artis terkenal Awie untuk mengulas isu berkenaan, namun dia gagal dihubungi. 

Dalam pada itu, perbicaraan kes Awie memukul Rozana yang sepatutnya bersambung di Mahkamah Majistret Ampang semalam terpaksa ditangguhkan ke bulan depan selepas peguam utama penyanyi itu, Hazman Harun tidak dapat hadir kerana sakit. 

Awie yang tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi bagaimanapun hanya tersenyum apabila perbicaraan hari keenam itu ditangguhkan. 

"Minta maaf peguam saya mungkin kena penyakit tibi agaknya," cerita nya dengan nada bergurau kepada wartawan yang menunggunya di mahkamah. 

Vokalis Wings, dan artis Awie didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 7 tahun dan denda jika sabit kesalahan. 

Mahkamah menetapkan 3, 6 dan 13 Julai ini bagi meyambung semula perbicaraan. 

Sumber : Kosmo! Edisi 04-06-2015 bersamaan 17 Syaaban 1436H

No comments: