Dedah kecurangan suami di laman sosial
Kata orang, masalah rumah tangga seelok-eloknya tidak dijaja secara terbuka kerana hal dalam kelambu antara suami dan isteri biasanya melibatkan aib pasangan masing-masing.
Namun, persoalan hati dan perasaan tidak boleh diduga. Tiba masanya, ia seperti gunung berapi, diam menyimpan panas, tiba ketikanya ia meletuskan lahar kemarahan.
Situasi itulah yang berlaku kepada artis dan pelakon kita Sharifah Shahora. Tekanan emosinya tidak lagi mampu dibendung. Geram dan hilang kesabarannya, dia secara terus-terang mendedahkan kisah kecurangan suaminya yang merupakan pengarah sinematografi terkenal, Raja Mukriz Raja Ahmad Kamaruddin, 43, di laman sosial.
Mukriz, yang juga pengarah filem Ophilia itu didakwa oleh artis Sharifah Shahora mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang menggunakan nama Twitter @madeyanie berasal dari Johor.
Terbuka berkongsi luahan hati kepada pihak media, artis pemilik nama sebenar Sharifah Shahora Syed Akil, 40, itu ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran kempen Syukur Selalu Media Prima di The Royale Chulan, Damansara, Selangor baru-baru ini.
Kosmo! : Sharifah Shahora, maaf bertanya, tetapi apa cerita sebenar di sebalik kisah kecurangan suami anda yang sedang hangat diperkatakan sekarang?
Shahora : Semua ini bermula apabila mereka berkenalan ketika tayangan filem Ophilia tahun lalu. Kemudian, sejak 3 bulan lepas, Mukriz semakin berubah dan saya mula perasan dia terlalu melekat dengan telefon pintarnya.
Setelah disiasat, rupa-rupanya dia asyik memadu asmara menerusi Twitter dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Yanie berasal dari Johor. Sejak mengetahui perkara berkenaan kira-kira 3 bulan, saya minta hubungan itu dihentikan, namun mereka masih berhubung. Oleh sebab itu, saya ambil keputusan untuk mendedahkan perbuatannya kepada umum.
Kosmo! : Bagaimanakah situasi anda apabila mendapat tahu kecurangan suami ketika itu?
Shahora : Semestinya marah kerana suami saya turut melayan wanita itu. Bagaimanapun yang paling menjengkelkan, wanita itu yang tergedik-gedik menggoda suami hingga tergamak mengajar Mukriz untuk menipu saya. Memang suami saya salah, tetapi apabila asyik digoda perempuan, lelaki pasti tewas!
Kosmo! : Anda memilih untuk menyerang wanita itu melalui laman sosial. Adakah itu jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan?
Shahora : Saya mengaku, serangan psikologi itu kelihatan tidak matang dan mengaibkan nama suami, tetapi itu sahaja cara terbaik agar wanita itu berhenti mengganggu rumah tangga saya. Saya buntu. Saya merayu dan memohon agar hubungan sulit itu dihentikan, tetapi tidak diendahkan mereka. Jadi saya putuskan untuk sebarkan nama dan nombor wanita itu di laman Twitter dan Instagram saya.
Kosmo! : Jadi bagaimana dengan hubungan anda dengan suami sekarang?
Shahora : Kami berdua tengah 'panas'. Ikutkan hati, saya mahu keluar dari kediaman kami, tetapi Mukriz kata, kalau keluar, maka saya akan nusyuz. Jadi saya sabar dan tetap tinggal bersamanya. Nasib baik rumah kami 3 tingkat, jadi seorang di tingkat atas, seorang lagi di tingkat bawah. Buat masa sekarang, memang kami tidak akan bertembung di tingkat yang sama.
Kosmo! : Bagaimana pula reaksi keluarga?
Shahora : Ibu bapa saya memang tidak ada laman sosial, jadi mereka tidak tahu kejadian yang berlaku. Adik-beradik saya semuanya memang tidak mahu campur tangan, mereka mahu saya selesaikan sendiri. Saya tidak tahu pula bagaimana reaksi keluarga suami.
Kosmo! : Selepas anda mengamuk dan menyebarkan kecurangan suami, adakah sebarang perubahan berlaku pada Mukriz?
Shahora : Dia memohon maaf dan berjanji akan berubah, tetapi saya sudah cukup terluka. Saya takut ini hanya sandiwara suami dan perempuan itu. Saya pernah beritahu Mukriz, kahwinlah kalau dia sudah benar-benar mabuk cinta dengan perempuan itu. Sekarang dia masih memujuk, namun saya perlukan masa untuk bertenang dan fikir semula apa yang perlu saya lakukan.
Kosmo! : Wanita itu pernah menghubungi anda untuk meminta maaf secara peribadi?
Shahora : Ada. Dia hubungi saya untuk meminta maaf dan mengatakan cara saya menyebarkan nombor telefonnya itu telah mengaibkannya. Bagi saya, dia yang memulakan angkara mahu memusnahkan rumah tangga orang dan tidak menghormati saya, maka itu bukan masalah saya. Kalau saya tidak berbuat begitu, entah apa lagi yang dirancang mereka berdua.
Kosmo! : Adakah suami anda dan wanita berkenaan pernah bertemu atau hubungan itu berlangsung hanya dalam talian dan laman sosial sahaja?
Shahora : Menurut Mukriz, mereka tidak pernah berjumpa, tetapi saya tidak pasti sejauh mana kebenaran itu.
Sumber : Kosmo! Edisi 08-06-2015 bersamaan 21 Syaaban 1436H